Saturday 22 July 2017

Peserta Kembara Inspirasi Haji tiba di China...

Daripada Abdul Rahman Ahmad

Konvoi Kembara Inspirasi Haji, (KIH) selamat tiba di China pagi tadi setelah melepasi pemeriksaan imigresen di pintu masuk Mohan, bersempadankan Laos.
Selesai sahaja pemeriksan imigresen itu, kedua-dua kenderaan pacuan empat roda yang membawa lapan peserta itu terus dibawa oleh pemandu pelancong, Andy Yuan ke Bandar Mengla untuk pemeriksaan kedua-dua kenderaan di balai polis bandar itu.
Pemeriksaan kenderaan itu penting bagi membolehkan mereka memperolehi lesen memandu secara sah sepanjang 17 hari mereka berada di negara ini, seperti Shadian, Kunming, Dali, Liangshan, Guangyuan, Lanzhou, Jiuguan, Kumul, Urumqi, Bayingol dan Kashgar di utara China.
Pengarah Projek KIH, Khir Ariffin berkata mereka sungguh bersyukur kerana segala urusan untuk memasuki China berjalan dengan baik termasuk kelulusan pemeriksaan kedua-dua kenderaan daripada pihak berkuasa China.
Bagi Mohd Izam Mahd Nor yang pertama kali menjejakkan kaki di China merasa teruja kerana memperolehi lesen untuk membolehkannya memandu di tempat-tempat yang akan mereka lalui nanti.
“Saya rasa bertuah kerana mendapat lesen memandu di negara China sepanjang 17 hari kami berada di negara ini dan mungkin sejauh 8,000 kilometer jauh. Ini bererti saya dan rakan rakan dapat memandu separuh daripada Asia,” katanya selepas mendapat lesen memandu China.
Selepas selesai pemeriksan kenderaan, konvoi itu meneruskan perjalanan menuju Shadian yang melibatkan perjalanan sejauh  600 kilometer dengan tempoh perjalanan sembilan jam.
Sejak memulakan perjalanan Selasa lepas, konvoi KIH telah melakukan  perjalanan sejauh 2,700 kilometer merentasi Laos, Thailand dan Kuala Lumpur.
Jumlah jarak keseluruhan perjalanan yang akan diambil oleh mereka untuk sampai ke Dubai ialah 16,000 kilometer.
Dari Dubai peserta KIH akan menaiki pesawat untuk ke Mekah untuk menunaikan fardu haji.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment