Ibarat sebuah pasukan bola sepak, setiap
pemain mempunyai peranan masing-masing untuk membawa kejayaan pasukan.
‘Striker’ yang beraksi di barisan hadapan
memikul tanggungjawab besar untuk menyumbat gol.
Tugas ini tidak boleh dilakukan bersendirian
kerana beliau memerlukan sokongan rakan sepasukan untuk menghantar atau
memberikannya bola bagi melakukan penyudah membuat jaringan.
Ada kalanya, rakan yang bermain di
barisan tengah atau sayap perlu menggelicik beberapa pemain lawan sebelum
menghantar bola kepada ‘striker’ untuk menjaringkan gol dengan mudah.
Bekas pemain sensasi Jerman Gerd Mueller merupakan
antara ‘striker’ terbaik kerana ketajamannya membuat penyudah untuk menjaringkan
gol bagi pasukannya.
Beliau digeruni oleh pasukan lawan kerana
kelincahannya itu sehingga mendapat jolokan ‘Der Bomber’.
Gol jaringannya membawa kemenangan bagi
Jerman Barat untuk mengalahkan Belanda 2-1 dalam perlawanan akhir Piala Dunia
1974.
Walaupun Mueller muncul wira, namun
pemain lain seperti ketua pasukan Franz Beckenbauer, yang merupakan tunggak
pertahanan, serta penjaga gol Sepp Maier juga berjasa untuk mempastikan
kemenangan Jerman Barat.
Mereka bergerak sebagai sebuah pasukan
yang mantap menghadapi cabaran walaupun ketika itu Belanda mendahului dengan
gol pembukaan menerusi sepakan penalti Johan Neeskens.
Jerman Barat dapat menyamakan kedudukan,
juga menerusi sepakan penalti oleh Paul Breitner sebelum Mueller mencipta nama dengan menjaringkan gol kemenangan itu.
Begitu jugalah kita di Bernama.
Kita turut berbangga apabila ada wartawan
yang memenangi anugerah hasil penulisan mereka.
Seperti mana Mueller berusaha gigih untuk
beraksi cemerlang, kejayaan bagi seseorang wartawan bukan datang bergolek kerana mereka perlu
sentiasa mengasah bakat penulisannya.
Sepertimana pemain bola sepak, ini hanya
boleh dilakukan dengan sokongan rakan sepasukan.
‘Support system’ itu termasuk rakan-rakan wartawan, penyunting dan editor.
Rakan-rakan ini tidaklah pula merasa
gusar jika rakan atau anak didik mereka memenangi anugerah, malahan mereka
turut berasa bangga.
Semakin banyak anugerah diterima, semakin
tinggilah pandangan umum kepada pasukan atau organisasi kita.
Apabila ini berlaku, itulah kemenangan
kita.
Pastinya yang untung adalah kita semua.
No comments:
Post a Comment