Penolong Pengurus Pusat Kecemerlangan Ridzuan
Mohd Ghazali mendapat Hadiah Penghargaan Kategori Puisi dalam Hadiah Sastera
Kumpulan Utusan (HSKU) 2016 yang diadakan malam tadi di Hotel Istana, Kuala Lumpur.
Beliau membawa pulang wang RM1,000, sijil
penghargaan dan hadiah iringan pada majlis yang disempurnakan oleh Tengku
Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.
Menggunakan nama pena Iwan Reaz, puisi
berjudul 'Siapa Sudi Membina Kubu
Denganku?' itu disiarkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 10 Januari 2016.
“Ilham untuk menulis puisi ini hadir
daripada perasaan ralat apabila saya kerap kali melihat pengunjung-pengunjung
pasaraya dan hentian R&R, menunaikan solat secara bersendirian di surau
yang disediakan.
“Puisi ini tidak mengambil masa yang lama
untuk ditulis. Sehari sahaja sudah siap,” kata Ridzuan.
“Asalnya, saya bercadang mahu menghantar
puisi ini ke sebuah majalah agama. Tetapi hati saya tergerak pula untuk
menghantar ke akhbar Mingguan Malaysia.
“Alhamdulillah, ada hikmahnya,” kata
beliau.
Menurut laporan penilaian Panel Juri, tumpuan
kepada mendirikan solat secara berjemaah bukan sahaja penting akan tetapi
menjadi tuntutan yang dijanjikan ganjaran pahala yang diangkat menjadi subjek
dalam ‘Siapa Sudi Membina Kubu Denganku?’.
Hakikat tuntutan berjemaah ini tambah
dirasakan apabila dimunculkan gambaran bagaimana ‘luluh sang hati/ menyaksi
ramainya memilih/ bersendiri/ untuk menghadap Ilahi’.
Ada kewajaran akan kekesalan yang timbul
sekalipun ‘berbondong-bondong umat manusia/ terdorong menegakkan tonggak
agama’.
Garapan selanjutnya mecuitkan harapan
agar jemaah tampil bersama ‘membina kubu-kubu’ demi ‘mendamba reda yang Esa’.
Kekuatan karya ini terletak pada muatan
isi yang didukung diksi yang langsung maknanya, kata panel juri.
Dengan diksi yang relatif umum ini
dikutip daripada kata-kata penggunaan sehari-harian, tetapi ia direlevankan
dengan mesej yang hendak ditonjolkan.
Sungguhpun demikian, keupayaan garapan
dengan menyuntik beberapa ungkapan puitis seumpama ‘bendang-bendang hiburan’,
‘hati menitahkan kaki’, ‘atma penggugur dosa’ dan ‘membina kubu-kubu jemaah’.
Ungkapan ini mudah menyelinap masuk ke
resepsi pembaca, sekaligus membina makna.
Makna yang disisipkan ke minda pembaca
menunjangkan mesej akan kekuatan (‘kubu’) amalan berjemaah dalam Islam.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi
Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar selaku
syarikat korporat yang menjadi penaja utama HSKU 2016 dan Pengarah Urusan
Kumpulan Utusan, Datuk Mohd Noordin Abbas.
Abdul Wahid ketika berucap berkata
penganjuran HSKU 2016 mampu menggilap bakat sasterawan baharu dan pada masa
sama memberi peluang kepada sasterawan tersohor untuk terus berkarya.
“HSKU 2016 ini juga suatu wadah
perjuangan dalam memartabatkan dunia penulisan dan kesusasteraan kepada masyarakat dalam membantu pembentukan
bangsa yang kukuh jati dirinya," katanya.
No comments:
Post a Comment