Hadiah kategori fotografi Anugerah Media Pembinaan CIDB 2017 (AMP
2017) Sarawak anjuran Kementerian Kerja Raya yang dimenanginya malam tadi
bagaikan hadiah hari jadi bagi jurufoto Bernama Muhammad Razali Nordin yang
genap 46 tahun hari ini.
“Syukur rasanya hasil kerja diiktiraf…ini
kali kedua berturut-turut menang hadiah yang sama dari tahun lepas walaupun ada
saingan dari rakan jurufoto media yang lain,” katanya.
Beliau menerima hadiah sagu hati berupa
wang tunai RM1,000 berserta sijil daripada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof untuk
gambarnya bertajuk ‘Pembinaan Pan Borneo Telok Melano Rancak’.
Tiada pemenang utama bagi kategori fotografi AMP 2017 Sarawak.
Dalam ucapannya pada majlis di Kuching
itu, Datuk Seri Fadillah berkata AMP 2017 yang diadakan buat tahun keempat bertujuan
memberi penghargaan kepada pengamal media yang sentiasa menyokong kementerian
tersebut menerusi penghasilan artikel dan gambar.
“Sebanyak 29 penyertaan kategori media
cetak, kategori media elektronik dan online broadcasting (empat) dan kategori
fotografi (sembilan) diterima kali ini.
Penyertaan ini amat penting bagi kita
(kementerian) supaya selain menguar-uarkan turut menyampaikan maklumat kepada
rakyat berhubung kait sektor pembinaan,” katanya.
Razali berkata kejayaan itu mendorongnya untuk menghasilkan karya yang lebih
berkualiti dan meningkatkan mutu kerja agar lebih unggul.
Foto yang membawa kejayaan kepadanya itu dirakam pada 2 Feb
2017 ketika beliau mengikuti delegasi Kementerian Kerja Raya yang diketuai Datuk
Seri Fadilah meninjau kemajuan projek lebuhraya itu.
“Telok Melano adalah kawasan paling
hujung dalam peta Sarawak. Perhubungan jalan air satu-satunya cara untuk ke
bandar kecil Sematan,” katanya.
Menurutnya, kesukaran untuk membina jalan di kawasan itu disebabkan
keadaan cuaca yang tidak menentu, hujan dan ribut serta berdekatan dengan
pantai.
“Ketika ini Pan Borneo hanya boleh dilalui dengan kenderaan pacuan 4 roda sahaja
“Dengan adanya Pan Borneo, segala kemudahan kesihatan, makanan dapat disalurkan kepada penduduk Telok Melano dengan
lebih cepat,” katanya.
Ia juga membuka potensi pelancongan kepada
kawasan itu.
Setelah lama menetap di Sarawak, anak
kelahiran Kuala Kangsar itu seronok tinggal di negeri itu, apatah lagi
isterinya orang Sarawak. Mereka mempunyai empat orang anak berusia antara 19
tahun dan 14 tahun.
Beliau telah bertugas di Sarawak sejak
enam tahun lepas setelah pertama kali berkhidmat di negeri itu dari 1999 hingga
2004.
“Masyarakat Sarawak sudah lama
mengamal budaya 1Malaysia, masyarakat berbilang suku adat budaya antara kaum
Melayu, Iban, Bidayuh, kaum Ulu serta Cina hidup harmoni di Sarawak,” kata
Razali yang sudah berkhidmat selama 22 tahun dengan Bernama.
Mengenai azam hari jadinya, beliau
berkata: “Moga mendapat kesihatan yang baik dan dapat menceburi bidang yang
diminati tanpa ada sekatan dan diberkati Allah.”
No comments:
Post a Comment