Thursday 16 November 2017

Album foto untuk Sultan Selangor...

Bernama hari ini dijemput menyembah album foto kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan koleksi bersempena Pameran Hari Keputeraan Tuanku yang ke-71 pada tahun lepas.
Pengurus Unit Pemasaran Foto, Farhan Mustafa berkata album khas 60 muka surat itu mengandungi 80 foto.
“Baginda amat teruja dan berulang kali mengucapkan terima kasih kepada Bernama,” katanya yang mengiringi Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab pada upacara itu yang berlangsung di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada pukul 12 tengah hari.
“Tuanku meluangkan masa hampir dua jam berbual bersama kami.
“Foto-foto itu adalah bersegmentasi  kehidupan Tuanku…koleksi peribadi Tuanku turut dimuatkan dalam album tersebut,” katanya.
“Banyak perkara dibincangkan antaranya Tuanku berkenan memberi kebenaran kepada Bernama untuk menjalankan sembilan pameran di setiap daerah di Selangor,” katanya.
Album khas Sultan Selangor itu diterbitkan oleh Unit Pemasaran Foto Bernama sempena Hari Keputeraan baginda ke-72 yang akan disambut pada 11 Disember ini bagi menghargai peranan penting baginda selama 16 tahun sebagai payung naungan Selangor.
Dalam pada itu, Azman berkata Sultan Sharafuddin berkenan supaya pameran diraja itu diadakan di sembilan daerah di Selangor sempena hari keputeraan baginda yang ke-72 tahun ini.
Menurutnya Sultan Selangor juga bertitah bahawa baginda bercadang untuk menerbitkan sebuah buku mengenai zaman kegemilangan bola sepak Selangor terutama ketika Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat mewakili pasukan negeri itudalam saingan Piala Malaysia pada 1950-an dan 1960-an.
Farhan berkata sepanjang beliau menerajui unit Pemasaran Foto, banyak kejayaan yang diperolehi dengan menerapkan dan mementingkan kerjasama di antara satu sama lain atas semangat setiakawan.
“Saya amat bangga dan berharap kami akan terus berusaha untuk terus jaya…saya ucapkan terima kasih kepada semua ketua saya yang banyak memberi tunjuk ajar.
“Bagi saya apabila diberikan tanggungjawab ini dan diberikan platform yang baik ini mengajar saya untuk terus maju dan sentiasa kreatif untuk terus berkarya,” katanya.
Kerajaan Selangor melalui Perbadanan Adat Melayu & Warisan Negeri Selangor  dengan kerjasama Bernama telah mengadakan Pameran Di Raja sempena Hari Keputeraan ke-71 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di SACC Mall di Shah Alam dari 5 hingga 14 Disember tahun lepas.
Pameran itu diadakan bagi menghargai peranan penting Sultan Selangor selama 15 tahun sebagai payung negeri Selangor dan berperanan sebagai satu medium untuk menyemai rasa cinta terhadap institusi diraja dalam kalangan rakyat.
Pameran itu juga membolehkan rakyat mengenali lebih dekat perjalanan hidup baginda dan sejarah kesultanan Selangor.


No comments:

Post a Comment