Monday 20 November 2017

Bernama rangkul empat anugerah media Johor...

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Johor merangkul empat daripada 34 kategori Anugerah Media Johor 2016 yang disampaikan di Johor Bahru malam ini.
Wartawan Lucia Terey John memenangi Anugerah Rencana Terbaik kategori Bahasa Melayu dengan artikel bertajuk ‘Jepun Menawarkan Potensi Besar Bagi Industri Halal Malaysia’.
Lucia, turut memenangi anugerah utama, Anugerah Khas Menteri Besar Johor dan merangkul dua trofi, sijil penyertaan serta wang tunai keseluruhan RM7,000.
Sementara itu, Suhainie Mohd Khalid memenangi Anugerah Berita Pelancongan Kebudayaan Terbaik (kategori Bahasa Melayu) manakala jurufotografi Bernama, Shaifuldin Ahmad memenangi Anugerah Fotografi Sukan Terbaik.
Suhainie memenangi anugerah tersebut menerusi rencananya yang bertajuk ‘18 Jam ke Hatyai Bersama Tren Peninsular’.
Masing-masing menerima trofi, sijil penyertaan dan wang tunai RM2,000.
Terdahulu dalam ucapan, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata media memainkan peranan besar sebagai kuasa keempat dalam sesebuah negara selepas kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman yang mewakili rakyat melalui laporan daripada, dan kepada rakyat yang tidak boleh disekat.
“Rakyat memerlukan maklumat yang betul daripada media bagi membuat keputusan yang tepat sama ada dalam pilihan raya atau sebagainya.
"Kita tidak boleh menjadi seperti di beberapa negara barat yang kebebasannya bercanggah dengan prinsip-prinsip asas di negara kita," katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat.
​​​​​​​Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak berkata kewartawan digital, konvergen dan pembikinan video yang membawa pengamal media ke arah penyiaran berita dalam era digital ini seharusnya membawa media untuk lebih kreatif dan inovatif dalam menyampaikan maklumat tepat kepada pembaca.
“Perubahan platform persembahan berita pada masa kini tidak seharusnya menyisihkan diri kita selaku pengamal media dengan prinsip dan etika kewartawanan yang selama ini menjadi pandu arah dalam penyampaian berita.
“Janganlah kita menjadi seperti 'wartawan segera' tidak bertauliah yang hanya melaporkan sesuatu berpaksikan populariti, kontroversi dan elemen sensasi semata-mata,” katanya.
Sebanyak 34 kategori dipertandingkan pada AMJ kali ini yang menerima 356 penyertaan.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment