Monday 13 November 2017

Kewartawanan dron elemen baharu...

Kewartawanan dron menjadi elemen baharu yang diperkenalkan tahun ini untuk menambah nilai liputan Meja Foto Bernama.
Bermula dengan foto banjir di Rantau Panjang, Kelantan oleh Penolong Editor Meja Foto Kamaruzaman Yaacob pada Januari lepas, penggunaan dron kini dipertingkatkan.
Meja Foto telah memulakan operasi dron untuk tugasan rasmi pada 16 Julai lepas dengan merakam foto berkaitan fasa kedua Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang yang bakal dilancarkan keesokannya.
Hasil sulung itu memberansangkan apabila lima keping foto digunakan oleh akhbar utama termasuk tiga akhbar menggunakannya pada muka hadapan.
Editor Foto Adnan Jahaya berkata dron sememangnya kini menjadi keutamaan pada liputan bencana.
“Penghasilan foto dan video dari udara kini melengkapi operasi liputan Meja Foto bagi kes atau peristiwa penting. Hasilnya memberansangkan.
“Terbaharu liputan banjir di Pulau Pinang yang memperlihatkan kegigihan jurufotografi dan kreativiti mereka,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan pemantauan rambang, sambutan pelanggan media adalah menggalakkan apabila banyak yang menggunakan gambar Bernama yang dihasilkan menggunakan dron.
Katanya, untuk menggunakan dron di lokasi larangan termasuk keadaan bencana perlu mendapat kebenaran pihak keselamatan.
“Kebenaran menerbangkan dron bergantung juga kepada keperluan dan tidak mengganggu operasi pihak berkuasa.
“Bernama juga telah mengemukakan permohonan menggunakan dron daripada pihak polis, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan.
“Apa pun yang penting dron adalah aset media yang bermanfaat. Para petugas melaksana tanggungjawab mereka hanya berasaskan tugasan rasmi,” kata Adnan.
Dua petugas Bernama iaitu jurufoto dan jurufoto 'drone' Mohd Zulfadhli Zulkarnain dan Muhammad Zulhilmi Daud yang dihantar ke Pulau Pinang sejak Ahad lalu untuk membuat liputan banjir menyifatkan tugasan itu sebagai pengalaman berharga.
"Cabaran yang kami hadapi semasa membuat liputan banjir termasuklah keadaan angin yang kuat hingga menyebabkan kerja mengendali 'drone' sukar dilakukan, " kata Zulhilmi dalam laporan berita yang disiarkan oleh Bernama.
Beliau berterima kasih kepada pasukan bomba yang membawa mereka meredah banjir setinggi tiga meter, untuk mencari kawasan pedalaman seperti di Kampung Tepi Sungai  yang merupakan kawasan terpencil dan sukar ditemui oleh media lain.
Zulfadhli juga turut berkongsi pengalaman bersama anggota pasukannya yang beberapa kali tersesat ketika melalui kawasan pedalaman di sekitar Bukit Mertajam dan beberapa kawasan di Tasek Gelugor semata-mata untuk mendapatkan foto eksklusif.
"Ahad merupakan hari terakhir kami berada di sini dan kami sentiasa bersedia untuk menyambung khidmat jika diperlukan untuk membuat sebarang tinjauan dari udara mahupun foto," kata Zulfadhli.
Tren penggunaan dron dikatakan sudah menular dalam industri media massa Indonesia. Portal berita Kompas.com misalnya, dilaporkan membuat laman khusus bertajuk Drone Journalism.
Laman itu menggabungkan berita dalam bentuk artikel dengan rakaman video dari dron.
Berita Satu TV juga dilaporkan menjadi antara stesen televisyen yang aktif memanfaatkan dron untuk peliputan seperti kebakaran Wisma Kosgoro di Jakarta, pada Mac 2015.
Dron dapat merakamkan kerosakan akibat kebakaran di lantai atas gedung itu.
Itulah antara kelebihan dron yang dapat mengambil gambar yang tidak terjangkau manusia dengan cara biasa.
Bernama News Channel (BNC) pernah mengadakan perbincangan dengan BeritaSatu News Channel Indonesia di Jakarta pada Mac lepas untuk bekerjasama dari segi perkongsian berita dan kandungan siaran.
BeritaSatu, yang mula beroperasi 3 September 2011,  dikatakan paling mirip dengan BNC dari segi operasi, staf juga lebih kurang sama ramai dan bersiaran konten hampir sama dengan BNC.

No comments:

Post a Comment