Dua malam berturut-turut naik pentas
untuk menerima anugerah membuatkan wartawan Kurniawati Kamarudin rasa
bersyukur.
“Diri ini terlalu kerdil dengan nikmat
yang diberikan,” katanya.
“Tentunya kedua-dua anugerah ini menjadikan
saya lebih bermotivasi dan bersemangat untuk menghasilkan rencana yang lebih
baik untuk masa-masa akan datang,” katanya.
Rencananya bertajuk ‘Pulau Banggi Tidak
Akan Terpinggir Lagi’ merangkul anugerah kategori Media Cetak dan Portal Berita
Dalam Talian (Berita dan Rencana) pada majlis Anugerah Media Kementerian
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di ibu negara malam tadi.
Malam sebelumnya beliau memenangi hadiah
khas anjuran Malaysian Institute of Planners (MIP) -- THINKCITY MyPLACE AWARDS
2017 menerusi rencananya “Komuniti hidupkan kembali Sungai Bunus’.
Memulakan perkhidmatan sebagai pegawai
berita di Bernama pada tahun 2000, Kurniawati berkata beliau menjadikan
matlamat agar setiap penulisannya dapat memberi manfaat kepada semua pihak.
“Sebab itu setiap kali menulis, saya akan
bayangkan keseluruhan aspek baik dari segi pembaca, orang yang diinterbiu serta
kesan dari penulisan itu.
“Apabila kita menjiwai mudah untuk
mencerap idea bagi menghasilkan sebuah rencana,” kata Kurniawati yang menyertai
Meja Rencana sejak tujuh tahun lepas.
Katanya, beliau banyak menulis mengenai isu
alam sekitar, sosial dan kemasyarakatan.
“Ia terlalu dekat dengan jiwa
saya....apabila kita memahami dan mendalami subjek..mudah untuk kita mencanai
idea.
“Kedua-dua subjek ini memberi impak yang
sangat besar kepada masyarakat keseluruhannya dan membolehkan kita menyelami
kehidupan yang berlaku di sekeliling kita,” katanya.
Beliau merupakan pemegang ijazah dari
Universiti Kebangsaan Malaysia dalam pengkhususan bidang sejarah (arkeologi).
Sepanjang berkhidmat dengan Bernama, beliau
pernah ditempatkan di Meja Jenayah selama sembilan tahun sebelum ditukarkan ke
Meja Rencana pada tahun 2010.
No comments:
Post a Comment