Persoalan yang mana betul antara "Harapkan
pagar, pagar makan padi" dengan "Harapkan pegar, pegar makan padi" terus menjadi perhatian.
Ada yang berpendapat perkataan sebetulnya
ialah ‘pegar’ merujuk kepada burung pegar.
Sejak beberapa tahun lepas pun, Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) kerap ditanya soalan itu tetapi sekadar menyatakan: “Pendapat baharu tentang peribahasa
“Harapkan pegar, pegar makan padi” (Harapkan pagar, pagar makan padi) yang
banyak dibincangkan di ruang maya belum dapat dipastikan kesahihannya kerana
sehingga kini belum ada dapatan atau kajian yang dapat mengesahkan
kebenarannya. Tidak ada maklumat terperinci tentang peribahasa dalam pangkalan
data kami.”
Namun persoalan itu bagaikan terjawab apabila Pusat
Rujukan Persuratan Melayu DBP memuatkan jawapan berikut dalam laman webnya
terhadap pertanyaan berkaitan yang terkini bertarikh 26 September lepas.
“Salam sejahtera, Berdasarkan Datuk
Rahman Shaari dalam Sinar Online bertarikh 16 Disember 2014, peribahasa yang
betul ialah "harapkan pagar, pagar makan padi". Peribahasa ini juga
yang terakam dalam buku peribahasa, Kamus Istimewa Peribahasa Melayu edisi
kedua oleh Abdullah Hussain. Maka, melalui keterangan ini, isu peribahasa
"harapkan pegar, pegar makan padi" tidak timbul lagi. Peribahasa
terakam dalam kepustakaan Melayu sejak dahulu lagi, walaupun dicetak berulang
kali bentuk asal peribahasa tetap dikekalkan. Sekian, terima kasih.”
Dalam tulisannya itu, Datuk Rahman menyatakan:
“…kita boleh saja mencadangkan yang lain, namun kita jangan terus mempersalah
sesuatu yang telah diterima pada masa silam.”
Maksud peribahasa "harapkan pagar,
pagar makan padi" ialah orang yang kita percayai berkhianat kepada kita.
Peminat bahasa, Saudara Shamsudin Putih
merasakan kenyataan itu betul.
“Pagar dipasang dengan harapan padi tidak
dimakan ayam. Tak kan nak suruh burung pegar pula menjaga padi. Itu bahasa
perlambangan dengan maksud yang tersurat dan tersirat.
“Pagar lebih logik kalau hendak menjaga
padi daripada diceroboh.
“Sebenarnya, perumpamaan tu ada
gandingannya: harapkan pagar, pagar makan padi.
harapkan sokong, sokong membawa rebah.
“Maka, sokong dan pagar adalah alat tidak
bernyawa yang digandingkan secara simbolik. Gandingan alat dan binatang
tentunya kurang harmoni,” katanya yang bersetuju dengan pandangan bahawa
sebagai agensi berita, Bernama mempunyai peranan menentukan penggunaan bahasa
yang betul.
Editor Foto Bernama, Adnan Jahaya juga merasakan
penggiat industri media perlu berperanan menunjukkan jalan lurus bagi
penggunaan kiasan dan membetulkan ejaan pada perkataan dan ungkapan yang salah.
“Seorang bekas menteri pernah keluarkan
kiasan sebagai mengganti kiasan berkaitan pegar dengan menyebut "harapkan
tin, tin makan biskut". Menteri itu
merujuk kepada kumpulan yang tidak percaya tahap amanah mereka,” kata Adnan.
Beliau berkata kiasan
lama perlu dipertahankan -- yang masih releven boleh digunakan dan yang tidak
lagi releven boleh diarkibkan sebagai khazanah bangsa.
“Kiasan "seekor
kerbau membawa lumpur semuanya terpalit" masih releven walaupun nak lihat
kerbau pun susah sekarang ni. Suatu hari orang tidak mengenali kerbau
sebagaimana mereka tidak mengenali pegar,” katanya.
No comments:
Post a Comment