Tiga
petugas Bernama Radio adalah antara 865
penerima ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda pada hari ketiga Istiadat
Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-30 di Sintok, Kedah hari ini.
Dua
penyampai radio berkenaan Naziana Md Nasir, 36, dan Natasha Aimee Hashim, 34,
serta Penerbit Berita Farrah Idzana Hashim, 32, masing-masing menerima Ijazah
Sarjana Sains (Komunikasi Kepengurusan).
Ketiga-tiga
mereka menerima ijazah sarjana itu daripada Pro Canselor UUM Tan Sri Osman
Aroff di Dewan Mu'adzam Shah.
Bercakap
kepada Bernama, Farrah Idzana berkata beliau mengambil keputusan menyambung
pengajian itu atas faktor untuk peningkatan kerjaya selain pesanan daripada
ibunya. Namun ibunya tidak sempat melihat kejayaannya hari ini kerana
meninggal dunia Jun tahun lepas.
"Saya
berasa sedih sebab mak meninggal (dunia) waktu saya berada di semester empat.
Selepas itu pada semester enam, ayah pula sakit strok...tetapi saya tetap
kuatkan semangat habiskan belajar untuk tunjuk kepada ayah, akhirnya saya habis
belajar juga.
"Sekarang Alhamdulillah, ayah saya sudah okay," katanya yang merancang untuk
menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang komunikasi
selepas ini.
Farrah
Idzana berkata antara cabaran dihadapi sepanjang belajar sambil bekerja itu
adalah perlu bijak menguruskan masa secara berkesan berikutan terdapat kelas
hujung minggu dan pada masa sama juga dikehendaki bertugas pada hari berkenaan.
Sementara
itu, Naziana pula berkata persaingan yang wujud dalam konteks pekerjaan dan
peluang kerjaya dengan perlu sentiasa menambah baik diri agar terus kekal
relevan, adalah antara pendorong penting kepadanya untuk menyambung pengajian
berkenaan.
"Memandangkan
usia saya sudah 36 tahun, saya tidak mahu mensia-siakannya begitu sahaja.
Selagi ada semangat untuk belajar, saya akan ambil peluang apa yang ada
ditambah pula dengan kawan-kawan yang sentiasa memberikan kata-kata semangat
agar kami dapat menamatkan pengajian ini," katanya.
Beliau
berkata mempunyai dua cahaya mata yang masih kecil dan bersekolah merupakan
cabaran terbesar kepada dirinya kerana masa untuk bersama mereka sedikit
terjejas selain cabaran bekerja sambil belajar yang memerlukan pengurusan masa
yang baik serta komitmen yang tinggi.
Katanya
bagaimanapun mendapat majikan yang sangat memahami dan banyak membantu
sepanjang beliau mengikuti pengajian itu menjadi antara penyuntik semangatnya
untuk mencapai kejayaan hari ini.
Dalam
pada itu, Natasha Aimee berkata beliau sememangnya suka mencabar diri untuk
melakukan sesuatu termasuk menyambung pengajian.
Beliau
berkata meskipun berhadapan cabaran utama membesar empat anak dengan pada masa
sama juga perlu bekerja dan belajar namun ia tidak menjadi penghalang bagi
dirinya untuk menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana itu.
--
BERNAMA
No comments:
Post a Comment