Friday 24 November 2017

Tiga wartawan Bernama menyerlah pada Anugerah Media KKLW...

Tiga wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyerlah pada majlis Anugerah Media Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di ibu negara malam ini.
Wartawan Kurniawati Kamarudin merangkul anugerah kategori Media Cetak dan Portal Berita Dalam Talian (Berita dan Rencana) menerusi laporan bertajuk ‘Pulau Banggi Tidak Akan Terpinggir Lagi’ manakala Sakini Mohd Said di tempat kedua kategori tersebut dengan laporan bertajuk  “Anyaman Buluh 'Salingkawang' Keunikan Kraf Sabah”.
Ini merupakan anugerah kedua bagi Kurniawati dua malam berturut-turut setelah menerima Anugerah anjuran MyPLACE dengan rencana bertajuk ‘Komuniti Hidupkan Kembali Sungai Bunus’ pada hari Khamis.
Tempat ketiga dimenangi wartawan ‘The Star',  Jessie Lim Yu Min dengan laporan bertajuk 'Eye On Rural Development’.
Bernama turut merangkul anugerah saguhati menerusi kategori Elektronik Penyiaran Radio yang dimenangi wartawan Nurliyana Farhah Ruslan menerusi laporan bertajuk ‘Felcra Bantu Naik Taraf Sosioekonomi Pulau Banggi'. 
Kategori Anugerah Media Elektronik Penyiaran TV yang dimenangi wartawan TV3, Nurul Huda Abd Aziz dan Norsham Mohd Noor menerusi laporan bertajuk ‘Kemelut Orang Asli Gua Musang’.
Tempat kedua dan ketiga dimenangi wartawan RTM, Farhana Nabillah Zakaria dengan laporan bertajuk ‘SPM2017 Fiesta Food Viral’ dan Noor Julizan Mohd Zain dan Mohamad Azree Zubir menerusi laporan bertajuk ‘Kelab Usahawan RISDA’.
Menteri KKLW, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan hadiah wang tunai, trofi dan sijil perhargaan kepada para pemenang.
Dalam ucapannya, Ismail Sabri mengumumkan bahawa kementeriannya akan menyediakan kuota khas kepada lima pengamal media untuk melanjutkan  pengajian peringkat pasca siswazah menerusi Bajet 2018.
“Pengumuman ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media yang sentiasa membantu kementerian dalam menjalankan tanggungjawab kepada rakyat," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment