Thursday 9 November 2017

Shukri sesuaikan diri, Azeman tenteramkan hati...

Pewarta baharu di Jakarta, Mohd Shukri Ishak sedang menyesuaikan diri dengan persekitaran setelah secara rasmi mengambil-alih tugas dua hari lepas.
Beliau menerima tanggungjawab itu daripada saudara Azeman Ariffin yang turut menyerahkan antara lain,  senarai aset, wang runcit (petty cash) serta kenderaan Toyota Innova.
Katanya, beliau masih menguruskan hal-hal berkaitan seperti permit, izin tinggal dan pas khas dari Kementerian Luar Indonesia.
Menurut Shukri, beliau sudah memandu kenderaan tersebut setelah urusan berhubungnya diselesaikan.
“Sudah ditahan polis tapi Alhamdulillah tak kena saman. Peraturan jalan lain sedikit. Ada jalan tak boleh masuk jika plate number mobil (kereta) tak sama dengan tarikh hari.
“Ada peraturan ganjil genap...kalau plate number ganjil hanya boleh masuk tarikh ganjil,” kata Shukri yang tiba di ibu negara Indonesia itu pada 25 Okt lepas.
Kaedah penggunaan nombor plat kereta yang dilaksanakan di Indonesia untuk mengawal bilangan kenderaan turut ditimbulkan pada mesyuarat penyelarasan mingguan Bernama pada hari Isnin sebagai satu usaha mengatasi masalah tempat letak kereta di sekitar Wisma Bernama.
Shukri berkata beliau ditahan kerana “salah masuk jalan”.
“Ada jalan jalan tertentu tidak boleh dimasuki jika plate number tak sama dengan tarikh.
Saya tersilap masuk jalan. Masih belum hafal lagi jalan di Jakarta,” katanya.
Beliau berkata tempoh larangan itu ialah antara 6 hingga 10 pagi dan 4 petang hingga 8 malam dan membabitkan jalan-jalan utama.
Shukri menganggarkan bilangan trafik di Jakarta tiga kali ganda lebih daripada Kuala Lumpur manakala motosikal juga terlalu banyak.
“Saya tak pernah memandu di Jakarta sebelum ini….peringkat awal agak bimbang juga. Tambahan pula lalu lintas agak sibuk dan ada peraturan tertentu,” katanya.
Jarak antara rumah ke pejabat kira-kira 5km tetapi perjalanan ada masanya lebih sejam disebabkan jem teruk.
Peraturan yang mensyaratkan kenderaan perlu mempunyai bilangan tertentu penumpang sudah tidak digunakan lagi kerana ia peraturan lama.
Beliau memerlukan bantuan Waze kecuali untuk “jalan ke pejabat. Imigresen, kementerian luar dan kedutaan Malaysia”.
“Waze banyak membantu...berdasarkan perkongsian pengalaman correspondents sebelum ini, ramai yang menceritakan mereka tersesat, sehinggakan dari pagi memandu lewat malam atau awal pagi baru sampai rumah sebelum wujudnya Waze,” kata beliau.
Sementara Shukri menyesuaikan diri memandu di Jakarta, Azeman pula berdepan ujian apabila mendapati keretanya ditenggelami air setiba beliau di Pulau Pinang semalam.
Isterinya tidak sempat membawa keluar kereta ke tempat selamat kerana air naik ke paras pinggang ketika banjir yang disifatkan paling buruk melanda Pulau Pinang, Ahad lepas.
“Kawasan tu tak pernah naik air seteruk tu, paling tinggi pun air naik kena tayar tapi kali ini, kereta tenggelam,” kata Azeman yang telah menghantar kereta itu ke bengkel.

No comments:

Post a Comment