Tuesday 7 November 2017

Mencari penyelesaian tempat letak kereta...

Pelbagai cadangan timbul bagi mengatasi masalah tempat letak kereta yang meruncing di Wisma Bernama.
Isu itu menarik perhatian mesyuarat penyelarasan mingguan Bernama semalam yang melibatkan penyertaan semua perkhidmatan dan bahagian.
Ia bukan sahaja berlaku di kawasan tempat letak kereta di hadapan Wisma Bernama tetapi juga di besmen bangunan 16 tingkat itu.
Antara cadangan ‘di luar kotak’ yang dikemukakan pada mesyuarat itu termasuk membenarkan para petugas bekerja dari rumah terutama bagi bahagian tertentu editorial.
Rasionalnya ialah dengan rangkaian komputer editorial Bernama, para petugas mempunyai akses dari mana jua capaian internet.
Pejabat biro Pulau Pinang yang tidak dapat digunakan kerana dinaiki air dan terputus bekalan elektrik akibat banjir dua hari lepas turut dijadikan contoh  operasi yang terpaksa dilakukan dari luar pejabat.
Cadangan kemungkinan bekerja dari rumah itu akan dikaji oleh Bahagian Sumber Manusia dengan mengambilkira Bajet 2018 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan di Dewan Rakyat dua minggu lepas serta peraturan berkaitan.
Masalah ruang letak kereta itu antara lain dikatakan berpunca daripada peningkatan taraf hidup dengan kemampuan para petugas termasuk yang baharu bekerja untuk membeli kereta.
Ia juga berkait dengan kemajuan Bernama yang kini mempunyai bilangan petugas yang ramai dan pelawat yang bertambah seiring perkembangan perkhidmatannya.
Usaha menangani masalah parkir ini telah lama diberi perhatian oleh pihak pengurusan.
Tanah sebelah yang pernah kosong tidak lagi boleh digunakan untuk kawasan letak kereta kerana sedang didirikan  bangunan melebihi 50 tingkat.
Ini tentunya akan menambah rumit lagi masalah letak kereta apabila bangunan itu siap nanti.
Cadangan membina tempat letak kereta bertingkat di kawasan parkir di seberang  Wisma Bernama tidak diluluskan kerana ia merupakan rizab sungai.
Kawasan parkir diperluaskan sehingga hampir ke jalan masuk Wisma Bernama tetapi masih sesak.
Ada yang menyatakan kawasan parkir Bernama dan kedua-dua belah jalan menuju Wisma Bernama turut menjadi tumpuan bukan petugas atau pelawat Bernama.
Ada pekerja kawasan berhampiran turut meletakkan kereta dalam kawasan parkir itu serta tepi jalan walaupun menghadapi risiko disaman.
Pada mesyuarat mingguan semalam, ada yang meminta supaya dilihat semula cadangan untuk mengadakan perkhidmatan ‘shuttle bus’ bagi mengangkut para petugas Bernama pergi dan balik ke stesen LRT berdekatan.
Ini bagi menggalakkan para petugas menggunakan perkhidmatan awam itu daripada memandu ke pejabat.
Seorang editor kanan yang pernah menggunakan LRT selama setahun pergi dan balik pejabat bersedia untuk berbuat demikian semula sekiranya ada perkhidmatan ‘shuttle bus’ antara stesen LRT dan Wisma Bernama.
Masalah yang dihadapinya sebelum ini ialah tambang mahal untuk teksi dari stesen LRT ke Wisma Bernama manakala ada teksi yang tidak mahu menghantarnya kerana jarak yang tidak begitu jauh.
Cadangan agar para petugas berkongsi kereta ke pejabat turut disuarakan tetapi ramai menyatakan ia tidak praktikal kerana timbul kemungkinan terpaksa menunggu lama serta masing-masing mempunyai tujuan tersendiri selepas pejabat.
Malah ada juga cadangan supaya mencontohi kaedah yang digunakan di Indonesia bagi mengawal trafik dengan membenarkan secara selang-seli kereta yang berakhir dengan nombor ganjil dan nombor genap untuk memasuki Wisma Bernama setiap hari.
Satu cadangan lagi ialah menggunakan perkhidmatan Grab untuk pergi dan balik pejabat sepertimana yang dilakukan oleh seorang editor.
Dengan bayaran RM600 sebulan, editor berkenaan tidak perlu bersusah-payah untuk memandu ke pejabat, malah boleh berehat dalam perjalanan.


   

No comments:

Post a Comment