Wednesday 29 November 2017

Bertani di pinggir Kuala Lumpur...

Bermain dengan kambing, memproses padi hingga menjadi beras dan memproses madu kelulut adalah antara program Jom Cuti@MAEPS di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang, mulai Jumaat ini hingga akhir Disember.
Ketua Pegawai Operasi Mardi MAEPS Sdn Bhd Norafizah Rahman berkata pengalaman bertani bersama keluarga dan rakan-rakan merupakan produk terbaharu di MAEPS yang merupakan taman agro pelancongan (Agrotourism Park) terbesar di negara ini.
Lokasinya tidak jauh dari Kuala Lumpur, sesuai untuk warga bandaraya mengalami suasana kampung. 
“Pengunjung dapat merasai kehidupan seorang petani dalam program sehari itu, yang menawarkan lawatan berpandu setelah membuat tempahan awal, atau  menaiki tram ke lapan laman di MAEPS,” katanya selepas menghadiri program NINE11 terbitan Bernama News Channel di Wisma Bernama hari ini.
Beliau berkata  pakej serendah RM38  seorang bagi tempoh empat jam itu meliputi  lapan laman termasuk  Laman Sayur dan Herba, Laman Perikanan, Laman Padi, Laman Nanas, Laman Ternakan dan Laman Florikultur selain 13 rumah negeri yang terdapat di  taman itu.
Selain itu, pengunjung juga dapat merasai makanan hasil tani seperti air pegaga dan jeruk roselle, selain membuat biskut nanas, menjamu selera dengan laksa serta nanas segar pada sesi teh tarik.
“MAEPS  Agrotourism menjanjikan pengalaman istimewa buat orang ramai dalam menikmati pelbagai aktiviti bertemakan pertanian,” kata Norafizah.
Pengunjung juga boleh melakukan aktiviti rekreasi seperti menunggang kuda, berbasikal, memanah serta berkhemah.
Beliau  berkata pada hujung minggu, orang ramai boleh memilih untuk menaiki tram dengan bayaran  RM5 seorang dan melawat ke lapan taman di MAEPS.
Selain itu, MAEPS yang meliputi 130 hektar kini mempunyai  ladang ternakan, ladang kambing iaitu Goat2 Go Farm dan ladang eko.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment