Banjir yang disifatkan paling buruk
melanda Pulau Pinang turut menjejaskan pejabat biro Bernama yang dinaiki air
dan terputus bekalan elektrik.
Ketua Biro, Sharifah Nurliza Syed Mohammad
berkata para petugas tidak boleh beroperasi dalam pejabat kerana tiada elektrik
manakala permaidani semuanya rosak disebabkan banjir.
“Hari ni memang tak boleh nak guna
ofis…esok nak kena bersihkan semua, rasanya dua, tiga hari jugalah operasi
terganggu,” katanya.
Beliau berkata inilah kali pertama bajir
melanda pejabat sejak empat tahun beliau berkhidmat di Pulau Pinang.
Menurutnya, pejabat Bernama yang terletak
di tingkat bawah bangunan empat tingkat itu memang berada dalam kawasan banjir
kerana berdekatan sungai.
Air naik tengah malam tadi dan diperasan apabila
petugas memasuki pejabat pagi ini.
Sharifah Nurliza berkata beliau perlu
memikirkan bagaimana untuk meneruskan operasi biro terutama bagi melaporkan
mengenai banjir.
Pulau Pinang dilanda banjir berikutan
angin kuat dan hujan lebat lebih 15 jam bermula 2 petang semalam dan disifatkan
sebagai yang terburuk dalam sejarah.
Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri
(DUN) Pulau Pinang baru-baru ini, kerajaan negeri melaporkan bahawa sebanyak
119 banjir kilat berlaku sejak 2013 hingga 15 Okt tahun ini dengan 21 kali dicatatkan
pada tahun ini.
Berikutan hujan lebat dan angin kencang, Pulau
Pinang lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di lima daerah dilanda
banjir selain menyebabkan ratusan pokok dan beberapa kawasan mengalami kejadian
tanah runtuh.
Empat warga emas dilaporkan lemas manakala
seorang warga Bangladesh maut dihempap pokok sementara rakan senegaranya dipercayai
masih hilang.
No comments:
Post a Comment