Friday 24 November 2017

Air kelapa bakar Bandar Seri Begawan...

Kesempatan berkunjung ke Bandar Seri Begawan kerana tugas memberikan peluang kepada Ketua Biro Sarawak Abdul Aziz Harun melihat antara tarikan di ibu negara Brunei Darussalam.
Dalam laporannya hari ini, beliau menceritakan mengenai air kelapa bakar yang dijual berhampiran Masjid Omar Ali Saifuddien.
Kerja menyiapkannya mungkin nampak sukar, namun dengan jualan yang boleh mencecah sehingga lebih 500 biji kelapa dalam sehari, hasil kudratnya mungkin boleh dianggap berbaloi.
Muhammad Ardi Muhammad Mon, 37, menawarkan air kelapa bakar sebagai pelengkap kepada aneka makanan lain yang diniagakannya seperti bihun sup, rojak, dan lain-lain lagi.
Di tengah kesibukan pengunjung ke kawasan tumpuan ramai di bandaraya itu, aksi peniaga yang nampak bertungkus lumus menyiapkan air kelapa bakar untuk dijual pada harga 2 dolar Brunei (sekitar RM6.20) tiap sebiji, mencuri tumpuan.
Muhammad Ardi berkata pada hari biasa hasil jualannya berada sekitar 200 atau 300 biji kelapa, namun pada hujung minggu jumlahnya boleh mencecah sehingga lebih 500 biji.
Menurutnya beliau difahamkan air kelapa muda yang dibakar ini amat berkhasiat dan baik sebagai rawatan sakit batu karang.
Beliau telah berniaga sejak lima tahun lepas dan baharu berpindah ke kawasan masjid itu sejak beberapa bulan lepas.
Bekalan kelapa diperolehinya dengan membeli dari kawasan-kawasan kampung.
Aziz berada di Bandar Seri Begawan bagi membuat liputan Rundingan Tahunan ke-21 Pemimpin Malaysia-Brunei antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman.


No comments:

Post a Comment