Bernama News Channel (BNC) akan
menyiarkan program travelog bertemakan budaya masyarakat Melayu di negara ini
dari sudut pandangan seorang gadis Cina berjodol ‘Saya Amoi Lah!’.
Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli
Salleh berkata program 13 episod yang menggunakan bahasa Mandarin itu adalah
hasil kerjasama BNC dengan syarikat produksi tempatan Educed Production Works
Sdn Bhd.
Beliau berkata penyiaran travelog yang
menyelusuri budaya masyarakat Melayu di seluruh negara itu dapat membantu
penonton lebih memahami adat resam orang Melayu yang semakin dilupakan generasi
baharu.
"Generasi baharu ini terutamanya
yang menetap di kawasan bandar sudah terlalu banyak dipengaruhi budaya luar,
budaya global yang sama sekali mengetepikan warisan bangsa dalam kehidupan
seharian mereka,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman
antara Bernama dan Educed Production Works Sdn Bhd di Wisma Bernama hari ini .
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd
Wahab dan Ketua Pegawai Operasi BNC Hakimi Mohd Zain.
MoU itu ditandatangani antara Zulkefli
dan Pengarah Urusan Educed Production Works Sdn Bhd Muhaimin Yussof
Zulkefli berkata penyiaran program itu dapat
mengetengahkan pelbagai keunikan budaya,
adat resam dan pantang larang masyarakat Melayu kepada generasi baharu dan kaum
lain.
Bagi pengacara 'Saya Amoi Lah!' , Stella
Chen, travelog itu bakal membawa
penonton seolah-olah pulang ke kampung menerusi rakaman visual budaya Melayu
yang cukup menarik dan berwarna-warni.
Personaliti televisyen berusia 21 tahun
itu berkata program terbabit akan menonjolkan pelbagai aktiviti yang terkenal
sebagai acara tradisi masyarakat Melayu.
"Antaranya seperti majlis kenduri
kahwin di kampung, majlis mantai di Negeri Sembilan, belajar membuat keropok
lekor di Terengganu selain mempelajari tarian tradisional seperti Dondang
Sayang (Melaka), Boria (Pulau Pinang) dan Zapin (Johor).
"Semuanya mempunyai keunikan
tersendiri dan saya cukup teruja malah tidak sabar untuk berkongsi bersama
penonton BNC," katanya.
Muhaimin pula berkata projek travelog
berkenaan hasil suntikan dana daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia
(KKMM)
"Saya Amoi Lah! dihasilkan dengan
bantuan sepenuhnya menerusi DPIK (Dana Pembangunan Industri Kreatif) dan diharap
ia bakal menjadi titik permulaan kepada lebih banyak program bertemakan budaya
dan adat resam masyarakat berbilang kaum di Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment