Hampir dua bulan menanti, akhirnya
pemilik dua kenderaan pacuan empat roda yang digunakan untuk pengembaraan
Kembara Inspirasi Haji (KIH) telah mendapat semula kenderaan mereka yang
tersadai di pelabuhan Pulau Pinang sejak Oktober lalu.
Kenderaan Pajero dan Hilux itu dituntut
pemiliknya Jasmi Jantan dan Mohd Izam Mohd Nor, setelah masalah dokumentasi
berjaya diselesaikan.
Dua kenderaan itu telah membawa lapan peserta KIH dari Kuala Lumpur ke Tanah Suci dalam pengembaraan yang bermula Julai lepas.
Pengembaraan mereka setakat Dubai mengambil perjalanan sejauh 14,500 km, kata Ketua Editor Tugasan Bernama News Channel (BNC) Abdul Rahman Ahmad dalam laporan yang disiarkan Buletin Bernama menerusi BNC hari ini.
Dari Dubai ke Tanah Suci, para peserta terpaksa menggunakan kapal terbang.
Kedua-dua kenderaan itu dihantar pulang ke tanahair menggunakan kapal laut dari Dubai.
"Dengan tibanya kedua-dua kenderaan ini di Pulau Pinang, maka berakhirlah misi mereka yang mengambil masa 35 hari dengan berkenderaan hingga ke Dubai," kata Rahman.
Kedua-dua kenderaan itu akan digunakan untuk misi bantuan banjir di Pulau Pinang.
Pengembaraan KIH dimulakan dengan 16 peserta tetapi lapan daripada mereka terpaksa pulang ke tanah air setelah tiba di Bangkok kerana kekangan sumber kewangan.
No comments:
Post a Comment