Tuesday 21 November 2017

Tak sangka menang…

Dua wartawan Bernama Lucia Terey John dan Suhainie Mohd Khalid  tidak menyangka untuk memenangi Anugerah Media Johor 2016.
Lucia memenangi Anugerah Rencana Terbaik kategori Bahasa Melayu dengan artikel bertajuk ‘Jepun Menawarkan Potensi Besar Bagi Industri Halal Malaysia’.
Beliau memenangi anugerah utama, Anugerah Khas Menteri Besar Johor dan merangkul dua trofi, sijil penyertaan serta wang tunai keseluruhan RM7,000 pada majlis berkenaan di Johor Bahru malam tadi.
Suhainie pula memenangi Anugerah Berita Pelancongan Kebudayaan Terbaik (kategori Bahasa Melayu) menerusi rencana bertajuk ‘18 Jam ke Hatyai Bersama Tren Peninsular’.
Beliau menerima trofi, sijil penyertaan dan wang tunai RM2,000.
Jurufotografi Bernama, Shaifuldin Ahmad turut memenangi Anugerah Fotografi Sukan Terbaik dan menerima trofi, sijil penyertaan dan wang tunai RM2,000.
Lucia dan Suhainie bersependapat bahawa kejayaan itu menjadi pendorong.
“Secara jujurnya, saya tidak menjangka untuk menang anugerah utama iaitu Anugerah Khas Menteri Besar Johor 2017 memandangkan penyertaan daripada kawan-kawan daripada media begitu sengit,” kata Lucia.
“Tetapi saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang difahamkan telah memilih sendiri saya sebagai pemenangnya.
“Syukur, ini adalah kejayaan hasil semua #TeamBernamaJohor yang saling menyokong kerjaya masing-masing selama ini.
“Kejayaan ini juga adalah hasil dorongan suami, Lum Chee Hong yang sentiasa memberikan kata-kata semangat untuk saya mengecapi kejayaan yang lebih signifikan dalam kerjaya saya.
“Dialah pengkritik, penasihat dan nadi utama dalam saya mencorakkan masa depan demi kerjaya saya dan juga demi keluarga tercinta,” kata anak jati Serian, Sarawak itu.
Suaminya pernah bekerja sebagai wartawan Berita Harian dan kini merupakan pegawai penyelidik di Pejabat Menteri Besar Johor.
“Dengan kemenangan ini, sesungguhnya ia mendorong untuk saya lebih ingin menghasilkan berita yang lebih berkualiti dan berimpak tinggi di masa depan bagi menyumbang, paling tidak kemajuan dari aspek yang berlainan kepada negeri Johor dan Malaysia amnya,” katanya.
Lucia menyertai Bernama pada 2 Mei 2013 dan dipindahkan ke Biro Johor sejak 1 Januari 2015.
Suhainie juga tidak sangka boleh menang kerana memikirkan “dah disenarai pendek pun Alhamdulillah.”
“Terima kasih kepada Kelab Media Johor dan KTMB atas penganjuran trip ke Hatyai-Songkhla menaiki keretapi selama 18 jam.
“Pengalaman naik keretapi mengimbau kenangan zaman kanak-kanak saya sewaktu balik ke kampung dari Stesen Kluang-Kuala Kangsar.
“Sudah tentu kemenangan ini mendorong saya untuk menghasilkan berita atau rencana berkualiti dan menarik minat pembaca,” kata Suhainie yang menyertai Bernama pada 15 Januari 2004 dan berkhidmat di Johor sejak hujung 2005.
“Kemenangan ini turut didedikasikan kepada mendiang Dan Guen Chin, rakan wartawan senior dari Malay Mail yang bersama-sama mengikuti rombongan. Beliau meninggal dunia Mei lepas,” kata anak kelahiran Lenggong, Perak, namun, dibesarkan di Kluang, Johor
“Masa dalam tren beliau ada belikan saya sandwich..Dan Guan Chin memang wartawan senior yang sangat-sangat tak lokek ilmu...” 
“Hubungan kami memang rapat sebab mendiang pernah jadi stringer Bernama especially berita sukan masa Haikal jadi ketua biro," katanya.
Suhainie berkata walaupun perjalanan keretapi itu lama namun ia tidaklah memenatkan kerana gerabaknya mempunyai tempat tidur.
“Sayangnya perkhidmatan tren peninsular JB-Hatyai tu dah stop rasanya…Saya tak pasti kenapa...mungkin takda sambutan kot,” katanya.

No comments:

Post a Comment