Penubuhan Skuad Bencana Sukarela Bernama
telah dicadangkan ekoran banjir di Pulau Pinang yang mengakibatkan kerosakan
kepada pejabat biro Bernama.
Cadangan itu dibuat oleh Ketua Pengarang
Datuk Zakaria Abd Wahab ketika mempengerusikan mesyuarat penyelarasan mingguan
Bernama pada Isnin lepas.
Pasukan itu yang akan melibatkan semua
peringkat kakitangan Bernama akan dikelolakan oleh Unit Komunikasi Koporat.
Unit itu telah diminta menjalankan
langkah seterusnya bagi membolehkan petugas yang berminat menyertai skuad berkenaan
yang diharap dapat ditubuhkan secepat mungkin.
Pasukan itu juga akan bertindak segera
membantu mana-mana petugas Bernama yang ditimpa musibah seperti tanah runtuh
dan rumah terbakar.
Timbalan Ketua Penyunting Meja
Penyuntingan Bahasa Malaysia, Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Noor Hammad Wariman berkata cadangan itu memang
baik kerana sesuai dengan keadaan semasa di samping dapat menjalin silaturahim
di kalangan warga Bernama.
“Ia bukan setakat membantu biro tetapi
juga boleh membantu mangsa banjir atau musibah yang lain,” katanya.
Pada mesyuarat itu, Datuk Zakaria menyatakan
penghargaan kepada pasukan dari ibu pejabat yang diketuai Pegawai Tadbir
Bahagian Harta Shahrul Azim Rambli kerana membantu mencuci pejabat Biro Pulau
Pinang yang dilanda banjir.
Sekiranya dijalankan oleh pihak lain,
Bernama mungkin terpaksa membayar
sehingga RM6,000.
Datuk Zakaria juga memaklumkan bahawa ada
cadangan hendak memindahkan pejabat biro Pulau Pinang ke tempat yang lebih
sesuai dan selamat.
No comments:
Post a Comment