Melakukan sesuatu di luar kebiasaan
menjadi pengalaman sekumpulan wakil media luar negara yang dibawa mengutip
durian di sebuah dusun menerusi program Perkampungan Perak Agro Tourism Media
Tiga Negara - Malaysia, Thailand dan Indonesia, sempena musim durian di Kampung
Gajah dekat Pasir Salak di Perak.
Program anjuran bersama Institut Agro
Usahawan dan Perak Agro Tourism (PATRO) milik Perbadanan Pembangunan Pertanian
Negeri Perak (PPPNP) itu, disertai lebih 10 pengamal media termasuk wakil media
tempatan.
Dianjurkan selama tiga hari sejak semalam
di Kompleks Desa Warisan Institut Agro Usahawan (iGrow) di sini, program itu
dirasmikan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri
Azman Ujang.
Naib Presiden Persatuan Kelab Media
Selatan Thailand, Rapee Mama berkata pengalaman mengutip durian dan makan di
dusun merupakan sesuatu yang jarang dirasai di negaranya.
Fasih berbahasa Melayu dan menyifatkan
diri sebagai ‘hantu durian’, Rapee berkata dia sanggup datang dari Narathiwat
ke sempadan Malaysia semata-mata untuk merasai buah durian tempatan, terutama
ketika musim buah.
"Saya memang suka durian sini kerana
keunikan durian kampung Malaysia adalah kerana teksturnya dan lebih sedap dan
puas. Rasanya sangat ‘aroi mak mak’ (sedap) .
“Berbanding durian di Thailand,
kebanyakan durian kami adalah 'durian kahwin' yang datang dari daerah
Chanthaburi, isinya agak berlengas (berair)," katanya kepada Bernama.
Berikutan musim durian di negaranya
sekitar Ogos hingga September sudah berakhir, tidak hairanlah Rapee enggan
melepaskan peluang apabila menerima jemputan menghadiri program itu.
Turut setuju dengan pendapat Rapee,
seorang lagi wakil media dari Thailand, Tuwae Daniya Meringing yang berkata
beliau terkejut dan teruja ketika dibawa pihak penganjur melihat suasana jualan
'Raja Buah' itu di sekitar Kampung Gajah yang jalannya sesak gara-gara penangan
durian.
Berasal dari Pattani, Tuwae berkata
beliau sangat hairan dan pelik melihat keriuhan penjual durian di Kampung Gajah
bagaikan pesta lebih-lebih lagi apabila tular di media sosial kerana harganya
yang murah berbanding kawasan lain.
"Saya pun terkejut dengan harga
durian di sini yang agak mahal berbanding di tempat saya harganya sangat murah.
Di tempat saya, orang kami tidaklah minat sangat makan durian berbanding orang
sini," katanya yang merupakan pemberita sambilan Bernama di Thailand.
Sementara itu, Azman berkata pelaksanaan
program seumpama itu dapat membantu mempromosi sektor pelancongan dalam Desa
Pelancongan Pasir Salak, sekali gus meningkatkan kehadiran pelancong dari dalam
dan luar negara.
“Saya juga melihat ia membantu daripada
aspek jalinan kerjasama strategik daripada pelbagai sektor seperti pendidikan,
pelancongan, pertanian dan kerjasama lain yang difikirkan sesuai.
"Selain itu program sebegini juga
memberi pengalaman sebenar mengenai Agro Pelancongan sekitar Kampung Gajah
terutama ketika musim buah-buahan seperti durian yang sememangnya sinonim dan
terkenal di kawasan tersebut," katanya.
Selain aktiviti mengutip durian pada
sebelah pagi, wakil media turut dibawa melawat ladang mangga, fertigasi tanaman
cili besar, kolam ternakan ikan dan penternakan itik telur.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment