Sebagai gerbang maklumat Bernama, peranan Bernama.com amat penting. Ia harus menarik bagi mempastikan Bernama sentiasa ‘vibrant’ sebagai sebuah agensi berita.
Bermula Julai 1998 ketika Internet baharu diperkenalkan, Bernama.com telah melalui beberapa pembaharuan bagi memberikan nilai tambah seiring peredaran masa.
Proses peremajaan Bernama.com menjadi fokus Pengarang Bernama.com Saudara Ahmad Kamil Tahir ketika membentangkan laporan pada sesi penilaian dan pengurusan risiko Bernama di Pusat Kecemerlangan, Wisma Bernama tiga hari lepas.
Keesokannya, impak Bernama.com terserlah apabila wartawan Bernama Nur Natasha Aida Ismail memenangi Anugerah Media Portal Berita pada Majlis Anugerah Sastera dan Media Negeri Sembilan 2017.
Laporan Natasha yang menang bertajuk “Bangunkan madu kelulut secara sistematik” dan “Madu kelulut asli bukan yang murah” disiarkan menerusi www.bernama.com -- portal Bernama yang mendapat purata antara 5 juta hingga 5.5 juta pengunjung sebulan.
Kejayaan itu memberi suntikan semangat bagi ‘peremajaan’ Bernama.com.
Bagi Kamil, peremajaan Bernama.com adalah untuk menentukan perkhidmatan yang diberikan sentiasa menepati kehendak semasa dan kompetitif dalam pasaran berita dalam talian.
Masyarakat diharap sentiasa membuat “temu janji” dengan Bernama.com kerana ia sentiasa mempunyai elemen menarik untuk dipaparkan mengikut citarasa terkini.
“Justeru itu apabila saya dilantik sebagai Editor Bernama.com, saya berhasrat menjadikan laman web ini sebagai satu elemen penting di Bernama...tidak dipandang sinis atau sebelah mata atau lebih dahsyat lagi ada di kalangan staf Bernama yang beranggapan Bernama.com sebagai "melukut di tepi gantang" ... tak ada pun tak apa, ada pun makes no difference dalam organisasi kerana tak ramai nak baca laman web ini,” katanya.
“Saya faham ramai beranggapan tugas di Bernama.com mudah... cuma "cut and paste".
“Memang di Bernama.com berita dari editorial dimuatnaik terus ke laman web, namun ramai yang tak sedar, jika tiada penelitian oleh petugas Bernama.com banyak kesilapan berita yang dihantar kepada pelanggan terus silap tanpa pembetulan.
“Sebagai contoh berita PM (Perdana Menteri) melawat Kuala Kedah beberapa hari lepas peribahasa "Harapkan pagar, pagar makan pagi" telah dihantar tanpa disedari oleh penyunting.
“Petugas Bernama.com menyedari kesilapan itu dan memaklumkan kepada penyunting berkenaan lalu pembetulan dilakukan.
“Sekiranya petugas di Bernama.com merely cut and paste, kesilapan akan terus menjadi kesilapan dan nama Bernama akan dipersendakan oleh pembaca.
“Justeru dengan peremajaan, saya telah ingatkan semua petugas agar lebih teliti ketika memuatnaik berita dan buang budaya cut and paste dari kamus Bernama,com,” katanya.
Dari segi layout Bernama.com, Kamil berkata peremajaan bermaksud penampilan laman web itu harus sentiasa kekal menarik dengan gambar dan terbaharu video.
“Sehubungan itu, semua petugas dikehendaki mengetahui teknik memuatnaik video..sungguhpun kebanyakan staf bukan kalangan yang muda remaja namun mereka perlu belajar cara memuatnaik video walaupun secara amatur.
“Ini merupakan langkah jangka pendek... bagi langkah jangka panjang, Bernama.com memerlukan staf yang lebih muda, proaktif dan responsif terhadap perkembangan dunia ICT.
“Mereka harus sanggup mencurahkan ide kepakaran mereka agar Bernama.com sentiasa remaja dari segi pengisian dan penampilan sejajar dengan peranan Bernama.com sebagai jendela kepada masyarakat bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia,” katanya.
Kamil berkata keistimewaan Bernama.com ialah dari segi team work, semangat berpasukan.
“Semua membuat tugas yang sama termasuk saya sendiri sebagai editor..tiada sebab untuk rasa iri hati...kepandaian mereka untuk crop gambar atau memuatnaik video mengikut kreativiti masing-masing merupakan satu bonus.
“Dalam konteks peremajaan, mereka yang berbakat dalam bidang ICT boleh menampilkan bakat masing-masing dan merasa puas dengan hasil kerja sungguhpun tiada yang menghargai Bernama.com jika ada di kalangan petugas yang menang anugerah berita dalam portal.
“Kami tak mengharapkan pujian melambung ke langit tetapi cukuplah sekadar perkhidmatan kami dihargai,” katanya.
** Nota: Bernamaians telah dimaklumkan bahawa contoh peribahasa yang sebetulnya ialah "Harapkan pegar, pegar makan padi" dan ia bukan dalam berita PM melawat Kuala Kedah tetapi satu berita lain.
** Nota: Bernamaians telah dimaklumkan bahawa contoh peribahasa yang sebetulnya ialah "Harapkan pegar, pegar makan padi" dan ia bukan dalam berita PM melawat Kuala Kedah tetapi satu berita lain.
No comments:
Post a Comment