Tak sah kalau tidak menikmati nasi kandar
jika berkunjung ke Pulau Pinang.
Walaupun nasi yang menjadi jualan tidak
lagi dijaja dari satu tempat ke satu tempat, namun perkataan kandar tetap
sinonim dengan makanan Pulau Mutiara itu.
Nasi Kandar didokumenkan sebagai satu
jenis hidangan nasi kukus yang turut
disajikan dengan pelbagai kari dan lauk pauk seperti ayam, ikan, sotong dan
lain-lain.
Perkataan Nasi Kandar timbul kerana pada
zaman dahulu penjaja nasi menjinjing (mengandar) palang kayu yang menggantung
dua bekas, satu nasi dan satu lagi lauk-pauk.
Nasi untuk dijadikan nasi kandar biasanya
diletakkan dalam bekas kayu kira-kira tiga kaki tinggi yang memberi ia satu
aroma yang tersendiri.
Hidangan nasi kandar dilengkapi dengan
lauk seperti ayam goreng, kari limpa serta daging lembu, telur ikan, udang,
sotong goreng dan telur rebus atau telur dadar.
Hidangan sayur pula biasanya adalah terung,
bendi atau peria.
Satu campuran limpahan kari dituang pada
nasi. Ini dipanggil 'banjir' yang menimbulkan rasa istimewa nasi tersebut.
Pegawai Tadbir Bahagian Harta, Shahrul
Azim Rambli yang berada di Pulau Pinang minggu lepas untuk bergotong-royong
membersih pejabat biro yang dilanda banjir tidak melepas peluang menikmati nasi
kandar.
“Kalau singgah Pulau Pinang, tak pekena
nasi kandar tak sah,” katanya yang berkunjung ke kedai berkenaan bersama-sama
rakan-rakan lain dari ibu pejabat.
“Azhar Bahagian Teknikal Biro Pulau
Pinang yang bawa kami ke sana,” katanya.
Ketua Penerbitan Berita dan Ehwal Semasa
Bernama News Channel (BNC) Saudara Letfee Ahmad, yang pernah bertugas di RTM Pulau
Pinang pada 1979 dan 1980, berkata ketika itu Nasi Kandar Craven A begitu
popular.
“Di Penang, orang makan nasi kandar
daripada sarapan hingga dinner,” katanya.
“Sampai pagi, restoran dan warung nasi
kandar masih dipenuhi pelanggan dengan nasi dan lauk masih panas,” katanya.
Letfee berkata ada acara tersendiri untuk
makan nasi kandar.
“Boss saya, Pengarah Penyiaran Kawasan
Utara Datuk Zainal Alam yang menjadi teman saya bersarapan nasi kandar di
sebuah restoran (lupa nama) di hadapan Balai Polis Jelutung ketika itu yang
ajar.
“Katanya pilihlah lauk kegemaran sama ada
ikan, ayam atau daging tapi kuah mesti campur semua jenis.
“Mesti ada cili hijau dan bendi serta
telur rebus.
“Air kopi O wajib dan tambah air lain
ikut kegemaran seperti ais kosong atau apa saja.
“Cara makan...suap nasi, gigit
cili atau bendi, kunyah dan hirup kopi O selepas setiap kunyahan..begitulah
sehingga habis…Lepas tu baru minum air tambahan tadi.
“Keistimewaan nasi kandar terletak kepada
karinya,” kata Letfee.
Walaupun restoran nasi kandar muncul di
Kuala Lumpur dengan menggunakan nama “Pulau Pinang”,
namun “peminat tegar” makanan itu menyatakan ia tidak dapat menandingi nasi
kandar di negeri itu.
“Craven A terletak di Simpang Enam yang
kini bangunan Komtar…Simpang Enam sekarang dah takde simpang,” kata Letfee.
No comments:
Post a Comment