Monday 6 November 2017

Kayuhan solo kumpul maklumat bekas wartawan...

Usia 67 tahun tidak mematahkan semangat wartawan sambilan, Che Saad Noordin untuk berbasikal secara solo mengelilingi Semenanjung Malaysia bagi mengumpulkan senarai bekas wartawan.
Beliau yang memulakan kayuhan di Kampung Baru Peramu hari ini, menjangkakan kayuhannya akan mengambil masa selama kira-kira sebulan sebelum berakhir di Perlis, meliputi jarak sejauh 2,000 kilometer.
"Saya berhasrat mahu mengunjungi bekas wartawan seramai yang boleh dan dapatkan maklumat mereka untuk disampaikan kepada Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis Melayu Malaysia.
"Maklumat itu diharapkan boleh digunakan untuk membantu mana-mana bekas wartawan yang mengalami kesukaran atau masalah kesihatan," katanya kepada Bernama.
Che Saad yang mesra dipanggil 'Pak Saad' merupakan wartawan sambilan Bernama di Kedah dan sebelum ini, pernah bertugas dengan Bintang Timur, Utusan Malaysia, Berita Harian, Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan Watan Harian.
Beliau mula berkecimpung dalam bidang kewartawanan pada tahun 1982.
Che Saad menambah berbasikal dalam jarak yang jauh bukan satu perkara baharu kepada dirinya kerana pernah menyertai Program Jelajah Kayuhan Semenanjung dan Penghujung Benua Asia pada 2015 dan Kayuan Muzium Jelajah Semenanjung pada tahun lepas.
"Untuk kayuhan kali ini, saya membawa bersama khemah dan pakaian sahaja. Khemah adalah sebagai plan B jika tempat saya berehat tidak mempunyai masjid, hotel atau rumah kenalan yang boleh ditumpang," katanya.
Che Saad menambah beliau mula aktif berbasikal sejak dua tahun lalu dan menyifatkan selain untuk kesihatan fizikal, aktiviti itu juga membantu beliau bertemu dengan ramai orang.
 -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment