Wednesday, 5 September 2018

Zaman penjawat awam ikut arahan membuta tuli telah berlalu: KSN

Datuk Seri Dr Ismail Bakar, yang baharu dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara, menegaskan bahawa zaman penjawat awam perlu menurut arahan membuta tuli telah berlalu.
Bagi mendepani cabaran dunia tanpa sempadan, setiap penjawat awam perlu menjadi pemimpin yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis, bukan hanya menjadi seorang pengikut, katanya dalam kenyataan hari ini.
"Segala pendekatan baharu ini tidak mungkin dapat dilaksana sekiranya kita semua masih dibuai mimpi lama. Pada masa terhad ini, penjawat awam perlu bertindak pantas dalam tugasan berlandaskan kepada prinsip bersih, cekap dan amanah," katanya.
Katanya pemisahan kuasa antara badan pemerintah, perundangan dan kehakiman perlu diutamakan dalam memastikan integriti perkhidmatan awam tidak dipertikai.
Beliau berkata ketika semua rakyat melangkah ke era Malaysia baharu, perkhidmatan awam juga harus tekad untuk maju sederap dalam memberi khidmat terbaik kepada nusa dan bangsa.
Dalam pada itu, Ismail berkata sejak menerima lantikan sebagai KSN seminggu lepas, antara ikrar utama beliau adalah melaksanakan reformasi ke arah mensejahterakan perkhidmatan awam dan rakyat amnya.
“Kebelakangan ini, imej perkhidmatan awam agak sedikit tercalar akibat terkait dengan isu integriti dan tadbir urus dalam kalangan penjawat awam. Sebagai institusi tulang belakang negara, kita harus berani bertindak untuk terus mempertingkat kecekapan, akauntabiliti, integriti, tadbir urus, ketelusan dan etika dalam pelaksanaan tugas," katanya.
Beliau berkata perkhidmatan awam yang berfungsi sebagai institusi pelaksana harus sentiasa berada dalam barisan hadapan ketika menyantuni rakyat serta menutup semua jurang antara keduanya supaya perasaan pemilikan dapat diresapi oleh semua lapisan masyarakat.
Katanya dalam memberi khidmat terbaik kepada negara, penjawat awam juga perlu sentiasa bersedia melaksanakan perubahan untuk mengharungi halangan yang dihadapi.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment