Sunday, 9 September 2018

Anugerah jadi dorongan...

Foto Datin Rohana Mustafa
Änugerah petugas terbaik bulanan menjadi pendorong kepada Timbalan Ketua Penyunting Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE) Zairina Kamaluddin bagi meneruskan kecemerlangan kerjanya.
“Rasa gembira dan bersyukur sebab usaha kita diiktiraf Bernama dan memberi semangat untuk bekerja lebih keras lagi menaikkan imej Bernama,” katanya mengenai anugerah itu yang diterima pada Perhimpunan Bulanan Bernama, Selasa lepas.
Beliau sudah 20 tahun menyertai Bernama, sebahagian besarnya sebagai penyunting.
Sungguhpun kewartawanan bukan menjadi impian semasa kecil, cita-cita itu timbul selepas Zairina melanjutkan pelajaran dalam bidang komunikasi massa di Universiti Teknologi MARA.
“Sebagai penyunting perlu sentiasa peka dan berhati-hati semasa menyunting berita dan mengetahui perkembangan isu-isu terkini agar berita yang dihantar keluar tidak salah dan boleh menimbulkan kontroversi,” kata Zairina yang sedang bercuti di kampungnya di Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.
“Penyunting juga perlu mengetahui laras bahasa sama ada bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris dengan baik serta perlu dapat memastikan tiada kesalahan ejaan, nama orang atau syarikat, nama jawatan dan pangkat, fakta, angka dan lain-lain.
“Penyunting juga perlu meringkaskan berita agar menjadi ringkas dan padat serta mudah dibaca,” katanya.
Bagi penyunting bahasa Malaysia di PBE, beliau berkata masalah utama biasanya adalah untuk menterjemah berita-berita berbentuk teknikal tentang pasaran.
Ia memerlukan penyunting mencari maklumat di internet bagi mencari makna yang sepadan dengan jargon-jargon tertentu pasaran.
Beliau seronok dengan tugasnya dan berterima-kasih kepada rakan-rakan kerja serta  persekitaran kerja yang banyak membantu.
“Saya tak ada banyak sangat pengalaman sebagai wartawan sebab saya banyak jadi penyunting,” katanya.
“(Namun) Ciri-ciri untuk jadi wartawan rasanya yang paling utama mesti ada minat untuk menulis, lepas tu kena kuat semangat dan rajin untuk membuat research,” katanya.

No comments:

Post a Comment