Daripada Haji Shamsudin Puteh
Alhamdulillah!
Selepas
perjalanan dengan bas merentasi padang pasir selama kira-kira tujuh jam,
sampailah di Madinah al-Munawarah dari kota Makkah pada lebih kurang 3.40
petang semalam.
Kumpulan
kami dipercayai antara jemaah Malaysia paling akhir meninggalkan Makkah setelah
berada di sana selama 35 hari .
Seperti
lazimnya, suasana di Madinah lebih santai berbanding di Makkah. Bagaimanapun,
jangkaan kami bahawa orang tidak ramai di Madinah kerana kebanyakan jemaah haji
sudah pulang ke negara masing-masing, jauh meleset apabila kota suci ini tetap
meriah dengan jemaah terutama di kawasan sekitar Masjid Nabawi.
Khabarnya,
keadaan ini berlaku kerana jemaah haji datang ke Madinah untuk melakukan ziarah
dan visa umrah juga sudah dibuka bagi sesetengah negara.
Dalam
taklimat tadi, seorang pegawai Tabung Haji menasihati jemaah Malaysia supaya
datang awal ke masjid - seawal pukul 9 pagi - untuk solat Jumaat bagi mengelak
terpaksa bersolat di jalan raya.
Demikiannlah
ukurannya jumlah jemaah di sini sekarang.
Bagi
kebanyakan jemaah Malaysia, kedatangan ke Madinah sudah lama ditunggu-tunggu
untuk mereka membeli-belah pada harga lebih murah berbanding di Makkah dan
mendapatkan buah tangan untuk dibawa pulang.
Saya
hanya melakukan ziarah ke kedai saja!
Sementara
itu, ketibaan di Madinah disambut dengan perkhabaran yang menyentuh perasaan
apabila terbaca dalam posting Sdr Ahmad Zukiman Zain bahawa bos saya, Ketua
Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab akan bersara mulai Sabtu ini.
Semoga ada kesempatan untuk bertemu beliau bagi mengucapkan selamat bersara,
terima kasih atas budi baiknya dan memohon maaf kepadanya atas segala kesilapan
saya kepada beliau apabila pulang nanti Isnin ini.
No comments:
Post a Comment