Tuesday, 25 September 2018

AKRAB Jabatan Perangkaan kunjungi Bernama

AKRAB Bernama menempa sejarah apabila menerima kunjungan AKRAB Jabatan Perangkaan bagi program penandaan aras di Wisma Bernama pagi ini.
Ini juga kali pertama bagi AKRAB Jabatan Perangkaan melawat sebuah AKRAB lain bertujuan mempelajari amalan terbaik (best practices) untuk memantapkan peranannya.
Timbalan Pengerusi AKRAB Bernama Puan Sharifah Zaini Syed Zain menyampaikan taklimat mengenai AKRAB Bernama yang ditubuhkan pada 2012.
Taklimat antara lain menyentuh mengenai aktiviti dan pencapaian AKRAB Bernama termasuk program Buddy Salam yang mendapat pengiktirafan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Pegawai Psikologi Puan Siti Syahida Jamaluddin dari Unit Pengurusan Psikologi, KKMM turut berucap menjelaskan peranan AKRAB sebagai rakan pembimbing perkhidmatan awam bagi membantu rakan sepejabat meningkatkan potensi dan kecemerlangan kerja.
Wakil AKRAB Jabatan Perangkaan Puan Mahfudzah Mahadzir berkata jabatan itu  mempunyai 57 ahli Akrab termasuk 30 pengambilan baharu Julai lepas.
Daripada jumlah itu, 18 berkhidmat di ibu pejabat di Putrajaya.
“Kami berharap dengan lawatan ini, akan dapat berkongsi ilmu,” kata Pegawai Psikologi di Jabatan Perangkaan itu pada taklimat di Pusat Kecemerlangan di Tingkat 12.
Para pelawat itu juga meninjau Bilik AKRAB di Tingkat 5 Wisma Bernama yang baharu disiapkan untuk mengadakan aktiviti seperti sesi mingguan bagi para petugas Bernama bertemu anggota AKRAB sekiranya memerlukan bantuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh, yang juga Pengerusi AKRAB Bernama turut hadir.











No comments:

Post a Comment