Saturday, 22 September 2018

Syabiha julang nama Bernama.....

Wartawan Nur Syabiha Sukri menjulang nama Bernama apabila memenangi tempat kedua kategori laporan berita terbaik (media cetak) bagi Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 Perak 2018 yang berakhir hari ini.
Beliau menghasilkan laporan bertajuk Sukma: Perkukuh Perpaduan, Bangunkan Pelancongan Negeri Perak bagi pertandingan itu yang pertama kali diadakan sempena Sukma.
Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menyampaikan hadiah berupa wang tunai RM500, sijil, baucar penginapan dan pas masuk Lost World of Tambun, barangan sukan tajaan Al-Ikhsan dan pas masuk MAPS (Movie Animation Park Studio)
Tempat ketiga dimenangi bekas wartawan Bernama, Jumaiti Rosly dari Berita Harian dengan tajuk Atlet Angkat Berat Yang Mencatat Kejayaan.
Wartawan Sin Chew Daily Pook Sook Yee memenangi tempat pertama dengan tulisan bertajuk "Meriahnya di dalam dan luar stadium' dan menerima hadiah daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada upacara penutup malam ini.
Bagi kategori fotografi terbaik, tempat kedua dimenangi Muhammad Afiq Hambali Ahmad Ziad dari Tribes, yang baharu meletakkan jawatan daripada Bernama dan ketiga dimenangi oleh Effendy Rasid dari New Straits Times Press.
Nur Syabiha berkata kepenatan membuat liputan temasya sukan itu berbaloi dengan kemenangan tersebut.
“Alhamdullilah, happy.... semua ni hasil guide dari bos saya kak Ana (Farhanah Azmi), dia banyak bantu saya di sini dan team biro Ipoh, ketua biro kak Salawaty (Supardi) pun banyak membantu saya terutamanya melancarkan kerja kami di sini,” katanya dari Ipoh.
Beliau berkata walaupun penat membuat liputan, sokongan rakan-rakan termasuk dari Biro Perak amat membantu melancarkan kerja.
Nur Syabiha dan rakan Meja Sukan Ahmad Syabil dan dua jurufoto dari ibu pejabat membuat liputan itu selama 14 hari dengan sembilan petugas biro.
Ini merupakan Sukma ketiga yang beliau membuat liputan selepas Sukma di Pahang pada 2012 dan Perlis 2014.
“Sukma ni, kita boleh lihat saingan atlet-atlet pelapis... story berbeza dengan cover Sukan Asia atau Komanwel...story Sukma lebih colour berbanding straight forward,” kata Nur Syabiha yang menyertai Meja Sukan sejak  2011 selepas enam bulan di Meja Berita Am.
“Saya masih baharu...banyak lagi perlu belajar,” katanya.
Pemilihan bagi anugerah media Sukma itu dibuat oleh panel yang dipengerusikan   Exco Belia dan Sukan Perak, Howard Lee yang juga Pengerusi Sekretariat Sukma itu.
Panel turut mengandungi tiga wakil Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) serta wakil Pejabat Menteri Besar.
Antara lain, kriteria yang menjadi tumpuan pemilihan ialah berita-berita mengenai usaha kerajaan negeri yang baharu itu menjadi tuan rumah menganjurkan  temasya sukan terbesar peringkat nasional.
Selain itu berita-berita mengenai kegigihan atlit muda bawah umur 21 tahun mengharungi cabaran untuk melakar kejayaan juga menjadi kriteria pemilihan.

No comments:

Post a Comment