Tuesday, 4 September 2018

Titipan Rindu Dari Perantauan



Daripada Haji Shamsudin Puteh di Makkah

Apabila lama berada di negara orang, kerinduan kepada tanah air pasti terasa.
Selain rindu kepada anak cucu, rindu kepada makanan di negara sendiri juga begitu meruntun selera.
Walaupun nasi mandy, kebab, kari kambing dan aiskrim menjadi pilihan ramai di sini, tetapi, keenakan nasi lemak sambal sotong, roti canai banjir, ikan bakar, lontong, nasi kandar dan telur itik masak lemak, tetap menggamit ingatan.
Malah, apabila berada di puncak kerinduan, talang masin goreng dengan bawang dan cili pun terasa sebagai hidangan mewah di negara yang terkenal dengan nasi Arab ini.
Setelah lebih dua minggu berada di negara padang pasir ini, kerinduan kepada suasana alam yang subur menghijau juga begitu terasa.
Dalam mengharungi suhu antara 35-40 darjah setiap hari, ingatan terhimbau kepada bumi Malaysia, yang dikurniakan Allah dengan rimba menghijau dan air terjun yang menyegarkan tubuh.
Mujurlah, dalam perjalanan pulang dari Tanaem untuk miqat umrah semalam, terpandang sebuah taman yang terletak tidak jauh dari Masjidil Haram.

Terubatlah seketika kerinduan di sukma.
Ya. Biarlah apa pun kata orang tentang Malaysia, tetapi bagiku, ia sebuah negara yang serba istimewa.
Maka, sayangilah dan peliharalah tanah air kita daripada segala angkara yang boleh memusnahkan keindahan dan keistimewaannya, termasuklah alam semula jadi. Semoga semangat ini bertambah subur ketika kita membuat persiapan untuk menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini.


No comments:

Post a Comment