Tuesday, 11 September 2018

Coretan Maal Hijrah Dari Makkah

Berbanding jemaah haji pada masa dahulu, jemaah haji Malaysia sekarang sungguh beruntung.
Ini termasuk dari segi komunikasi.
Kalau dulu, khabar tentang keluarga yang ditinggalkan hanya boleh diketahui melalui surat, tetapi kini semuanya menjadi mudah dengan wujudnya telefon bimbit dan internet.
Kemudahan ini juga memungkinkan kita mengetahui tentang perkembangan di tanah air, termasuk berkaitan politik.
Ini termasuk melalui portal berita berpangkalan di tanah air, seperti Bernama.com. Saya dapati ramai juga jemaah di Tanah Suci ini melayari portal itu untuk mengetahui tentang perkembangan semasa di tanah air.
Ini termasuk tentang pilihan raya kecil DUN Seri Setia dan Balakong baru-baru ini. Sebagai petugas di Bernama, saya berasa bangga dengan pilihan mereka.
Nampaknya, kepanasan suhu politik di Malaysia tak pernah reda, walaupun PRU14 sudah mempamerkan keputusannya.
Biarlah.
Setiap orang ada hak untuk bersuara dan menyatakan pendapat.
Cuma, usahlah melampui batasan agar negara terus makmur, aman dan sejahtera.
Bersempena sambutan Maal Hijrah, dari perantauan, saya titipkan rangkap coretan ini untuk renungan bersama, khususnya anak-anak sendiri.

Seni Alam

Sesekali
tinggalkanlah bara sengketa
rungkaikan belitan perbalahan
yang sekian lama
menjerut nafas keharmonian

lupakanlah hasad dan dendam
berpadalah mencari kesalahan
maafkanlah sedikit sebanyak kesilapan
agar marah tidak berpanjangan

mari kita renungi seni alam
penuh rahsia dan keindahan
anugerah Ilahi tiada bandingan
agar kita lebih menginsafi
betapa nikmatnya kedamaian
betapa mahalnya nilai ketenangan
kemesraan dan kesejahteraan
yang tak mungkin tercapai
dalam kancah permusuhan

--Shamsudin Puteh
Makkah

No comments:

Post a Comment