Thursday, 20 September 2018

Frasa "Saya yang menjalankan amanah" ganti "Saya yang menurut perintah


Kerajaan bersetuju frasa "Saya yang menurut perintah" yang digunakan dalam surat rasmi Kerajaan digantikan dengan frasa "Saya yang menjalankan amanah" berkuat-kuasa hari ini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Borhan Dolah berkata langkah itu sejajar dengan hasrat Kerajaan supaya setiap penjawat awam dapat menghayati bahawa setiap perintah, tugasan dan tanggungjawab merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya.
"Dalam konteks ini, amanah bermaksud rela dan berusaha melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dalam batas kuasa yang ditentukan dengan penuh gigih dan ikhlas bagi mencapai objektif yang ditetapkan.
"Mempunyai sifat luhur dan murni, jujur kepada diri sendiri, rakan dan organisasi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Oleh itu, Borhan berkata sifat amanah merupakan nilai asas yang perlu ada pada setiap penjawat awam dalam menjalankan tugas agar setiap kerja atau perkhidmatan yang dihasilkan bermutu tinggi.
Borhan berkata penggantian frasa itu hanya melibatkan pindaan perenggan 6.4(g), Lampiran A, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2007.
Sebelum ini, pekeliling itu menyatakan bahawa setiap surat hendaklah diakhiri dengan perkataan "Saya yang menurut perintah" di sudut sebelah kiri bawah sebelum tandatangan pegawai yang berkenaan.
Cadangan supaya frasa tersebut ditukar, disuarakan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sesi Town Hall bersama pegawai tadbir dan diplomatik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 15 Ogos lepas.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment