Oleh
Erda Khursyiah Basir
Institusi
raja khususnya Yang di-Pertuan Agong adalah kedaulatan negara dengan kedudukan
dan peranannya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu disokong dan
didukung oleh kerajaan serta rakyat.
Pensyarah
Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata perubahan kerajaan, susulan
kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei lepas, tidak
memberi kesan dari segi peranan, fungsi dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
Peralihan
kerajaan itu menyaksikan Sultan Muhammad V mencatat sejarah tersendiri dengan
menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang pertama memerintah dalam era dua
kerajaan berbeza.
Semasa
dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 pada 13 Dis 2016, kerajaan ketika
itu diterajui oleh Barisan Nasional dan pada 10 Mei lepas, kepimpinan negara
diambil alih oleh Pakatan Harapan yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.
Ketika
merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama, Parlimen ke-14 pada 17 Julai
lepas, Seri Paduka bertitah mengalu-alukan pendekatan kerajaan Pakatan Harapan
dalam menegakkan ketelusan terutamanya dengan mendedahkan kedudukan kewangan
negara yang sebenar serta mengkaji semula perbelanjaan, kos projek dan mengurus
kewangan secara berhemat bagi menangani kos sara hidup.
ADAPTASI
PERUBAHAN
Pada
Jun lepas, Sultan Muhammad V memperkenankan supaya peruntukan gaji dan emolumen
Yang di-Pertuan Agong dikurangkan sebanyak 10 peratus sepanjang pemerintahan
sehingga 2021 berikutan keprihatinan Seri Paduka terhadap tahap hutang dan
keadaan ekonomi negara.
Seri
Paduka turut menitahkan supaya Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri tahun ini tidak
diadakan di Istana Negara dengan peruntukan majlis itu digunakan bagi membantu
golongan yang kurang bernasib baik.
Sempena
Sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada hari ini, Sultan Muhammad V
menitahkan pembatalan Istiadat Hari Keputeraan Rasmi dan Jamuan Teh Diraja yang
dijadualkan di Istana Negara.
Seri
Paduka menitahkan supaya peruntukan perbelanjaan kedua-dua acara rasmi itu
dikembalikan semula kepada pihak kerajaan dengan disalurkan kepada Tabung
Harapan Malaysia.
Syamrahayu
berkata beberapa adaptasi yang diperkenankan Sultan Muhammad V dilihat seiring
pentadbiran kerajaan semasa.
Secara
umumnya, beliau melihat peralihan kerajaan sedikit sebanyak menyebabkan
institusi raja khususnya Yang di-Pertuan Agong perlu melihat kepada
perkembangan politik selaras dengan pentadbiran kerajaan itu sendiri.
“Ini
dapat dilihat daripada perkenan Seri Paduka supaya tidak diadakan Istiadat
Menghadap dan Istiadat Pengurniaan bagi Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang dan
Pingat Persekutuan serta pembatalan Istiadat Hari Keputeraan Rasmi dan Jamuan
Teh Diraja,” katanya.
Beliau
berkata ini adalah antara perkara yang perlu diambil kira oleh kerajaan Pakatan
Harapan untuk sama-sama berganding bahu merealisasikan Malaysia Baharu.
Pada
masa sama, beliau berpendapat Yang di-Pertuan Agong bukanlah menzahirkan
sokongan institusi raja kepada mana-mana parti politik sebaliknya
memperkenankan pembatalan acara-acara itu bagi menghormati pentadbiran kerajaan
Pakatan Harapan yang dipilih rakyat melalui proses pilihan raya.
“...pada
saya ia menunjukkan sinergi antara raja dan kerajaan. Jika mahu melihat
hubungan antara intitusi beraja dengan kerajaan, saya fikir tindakan
sebegitulah yang menunjukkan keprihatinan institusi beraja kepada kerajaan.
“Bukanlah
bermakna menyokong dari segi pendirian politik tetapi untuk perkara yang mendatangkan
kebaikan kepada rakyat dan negara,” jelasnya.
KEDAULATAN
DAN IDENTITI NEGARA
Pada
masa sama, Syamrahayu menekankan bahawa Yang di-Pertuan Agong bukanlah hanya
simbol semata-mata, sebaliknya mempunyai peranan seperti yang termaktub di
dalam Perlembagaan.
“Ia
melambangkan kedaulatan dan identiti negara. Oleh itu, adalah menjadi
tanggungjawab kerajaan untuk memudahkan, membolehkan dan memastikan institusi
raja dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang didukung dengan
sewajarnya,” katanya.
Bekas
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim pula
berpendapat titah perkenan Sultan Muhammad V berhubung pemotongan gaji dan
emolumen serta beberapa acara rasmi Seri Paduka adalah selaras dengan hala tuju
kerajaan.
“Sesiapa
sahaja yang mengetuai kerajaan, itulah kerajaan Seri Paduka...baginda perlu
menjurus kepada kerajaan itu waima siapa pun yang memerintah.
“Isu
seseorang Yang di-Pertuan Agong tidak menyokong sesuatu kerajaan tidak timbul
sama sekali. Seri Paduka tidak terlibat dengan politik, lunas Seri Paduka
hanyalah Perlembagaan,” katanya.
Dalam
pada itu, Dr Rais meminta kerajaan supaya memperbanyakkan usaha untuk mendidik
generasi muda supaya menghormati institusi raja yang diterajui Yang di-Pertuan
Agong.
“Generasi
muda kurang diberi pendedahan, bimbingan dan nasihat mengenai fungsinya
(institusi raja) sedangkan ia amat mustahak dalam struktur pemerintahan
negara.
”Ada yang bercakap sambil lewa, menggunakan bahasa
yang jelek dan tidak menghormati institusi raja,” katanya.
-- BERNAMA
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment