Wednesday, 19 September 2018

Kental menamatkan cabaran ...



Oleh Maznah Abu Bakar 

Serik! panas terik, bermandi peluh dan hampir kekejangan otot.
Perasaan yang meronta-ronta ini hampir sahaja mematikan langkah dari meneruskan cabaran hingga ke garisan penamat.
Pastinya inilah detik yang paling mencabar dirasai oleh peserta Cabaran GCE Dualthon 2018 baru-baru ini yang turut menampilkan tiga petugas Bernama – S.Chanthiran, Azha Marzuki dan Hamdanawal Muhamad Sukri. Jemputan dari Kumpulan Syarikat PROLINTAS (PROLINTAS) sebagai penganjur acara duathlon di Lebuhraya Guthrie sempena Sambutan Hari Malaysia disambut baik oleh mereka ini berbekalkan semangat yang kental dan keazaman yang kuat untuk menghadapi challenge the trail bagi kategori Team Relay, bertempat di plaza Tol Bukit Jelutong.
Kategori ini memerlukan peserta pertama, Chantiran berlari sejauh 10km, diikuti peserta kedua, Azha berbasikal sejauh 60km dan peserta ketiga,
Hamdanawal berlari 10km secara bergilir.
Menurut Chanthiran beliau bernasib baik kerana menjadi peserta pertama yang memulakan acara larian sejauh 10km pada awal pagi.
Tidak sukar baginya berlari dengan jarak ini kerana beliau seringkali mengikuti acara-acara larian.
Bagi Azha pula, cabaran berbasikal sejauh 60km adalah suatu tugas yang amat mencabar kerana ini adalah kali pertama beliau berbasikal sejauh itu.
Beliau menggunakan basikal  ‘racing’ kerana ia sesuai dengan perlumbaan jarak jauh.
Lebuhraya berbukit dan di bawah terik mentari serta saingan hebat peserta lain amat mencabar mental dan fizikal mereka.
Azha hampir mengalami kekejangan otot tetapi pengalaman-pengalaman sebelum ini membuatkan beliau mampu mengatasi masalah kekejangan dengan melakukan beberapa tips yang dipelajarinya.
Ini termasuk teknik pernafasan yang  betul, mengurangkan kelajuan, stretching atas basikal dan merehatkan badan sambil meluruskan kaki ke bawah dan sebagainya. Beliau memfokuskan diri untuk sampai ke garisan penamat kerana rakan sepasukan menunggu untuk meneruskan cabaran selanjutnya.
Hamdanawal menyambung cabaran berlari 10km dalam keadaan cuaca yang terik dan panas kerana sudah hampir tengah hari.
Lebuhraya yang berbukit dan badan dibasahi peluh menambah kelemahan fizikal dan kuasa mental yang berkurangan.
Menurut Hamdanawal, beliau hampir sahaja mahu menamatkan cabaran ketika itu tetapi berbekalkan semangat yang kental untuk sampai ke garisan penamat beliau akhirnya berjaya menamatkan cabaran ini  walaupun ketika itu jiwanya lemah dan serik untuk menyertai cabaran seperti ini lagi.
Tetapi selepas itu beliau berasa seronok dan kejayaan menghabiskan cabaran ini merupakan satu kepuasan buat dirinya.
Syukur Alhamdulillah, cabaran ini dapat dihabiskan dalam masa 5 jam 14 minit. Tahniah dan syabas atas kekuatan fizikal dan mental ketiga-tiga peserta yang mewakili Bernama.
Mengejar masa bukanlah satu yang penting tetapi menamatkan cabaran dengan selamat adalah sesuatu yang paling bermakna dan itulah kejayaan dan kepuasan buat diri masing-masing.


No comments:

Post a Comment