Daripada Haji Shamsudin Puteh di Makkah
Sejak
menginap di hotel di sini, setiap pagi iaitu selepas solat subuh pada 4.45
pagi, ramai wanita menjual makanan untuk sarapan seperti nasi lemak, nasi
himpit, bihun, nasi kerabu, pulut ikan masin dan sebagainya.
Kebanyakan
mereka berketurunan Melayu Pattani yang bermastautin di Makkah. Oleh kerana
hotel tidak menyediakan sarapan, maka ramailah jemaah yang menjadi pelanggan
peniaga sambilan itu.
Setelah
lebih dua minggu di sini, kebanyakan peniaga berkenaan sudah mesra dengan
jemaah.
Daripada
sekian ramai tu, seorang peniaga amat mesra dengan saya kerana menjadi
pelanggannya setiap pagi.
Orangnya
petah berbahasa Melayu Pattani, walaupun anak-anak yang membantunya berniaga,
hanya tahu berbahasa Arab.
Pagi
ini dia memberi kejutan kepada saya kerana katanya dia tidak mahu menjual nasi
lemak kepada saya.
Risau
juga kalau-kalau ada perbuatan atau percakapan saya yang membuat dia marah.
Bagaimanapun,
lega rasanya apabila dia berkata dia tak mahu jual kepada saya sebab dia nak
belanja saya hari ni.
Bukan
setakat itu saja, dia beri lima bungkus lagi nasi kerabu untuk isteri dan
kawan-kawan sebilik dengan saya.
Alhamdulillah! Dia berterima kasih dan sebak apabila saya berdoa di depannya agar Allah memberi rahmat dan memurahkan lagi rezekinya kerana kemurahan hatinya itu. Ya. Manusia jahat dan berhati mulia ada di mana-mana!
No comments:
Post a Comment