Daripada
Mazani Mohd Yusoff & Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
Indonesia
mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada ribuan atlet Asia dalam
suasana penuh mesra dan meriah apabila temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang
2018 melabuhkan tirainya di Stadium Utama Gelora Bung Karno, di Jakarta malam
ini.
Upacara
penutupan sukan edisi ke-18 itu berlangsung dalam suasana warna warni serta
lebih 60,000 penonton di stadium dihiburkan dengan pelbagai persembahan
kebudayaan serta nyanyian oleh artis-artis terkenal Indonesia serta persembahan
kumpulan K-pop dari Korea Selatan iaitu Super Junior dan iKON.
Percikan
bunga api berwarna-warni menghiasi ruang udara stadium pada majlis yang penuh
bermakna bagi atlet Asia yang bertarung selama 14 hari untuk membuktikan
keunggulan dalam sukan masing-masing dengan menyaksikan China dinobatkan selaku
juara keseluruhan.
China
mengumpul 132 emas, 92 perak dan 65 gangsa diikuti Jepun (75-56-74), Korea
Selatan (49-58-70) dan tuan rumah Indonesia di tangga keempat dengan 31-24-43
manakala Malaysia menghuni tangga ke-14 dengan tujuh emas, 13 perak dan 16
gangsa.
Majlis
dimulakan dengan upacara perarakan kontinjen dengan Malaysia diterajui oleh
ketua kontinjen, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi serta 113 atlet dan pegawai.
Susulan
perarakan itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo memberi ucapan secara langsung
menerusi sidang video diikuti ucapan terima kasih oleh Timbalan Presiden, Jusuf
Kalla.
Presiden
Indonesia itu tidak dapat hadir pada majlis itu kerana sedang melawat mangsa
gempa bumi di Lombok, Barat Nusa Tenggara.
Presiden
Majlis Olimpik Asia (OCA), Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah kemudian mengambil
tempat di pentas dengan menyampaikan ucapan penghargaannya kepada kerajaan
Indonesia atas kejayaan negara itu menganjurkan temasya sukan tersebut.
Beliau
kemudian mengisytiharkan Sukan Asia 2018 dengan tema ‘Energy of Asia' ditutup
dengan rasminya dan bendera OCA kemudian diturunkan,
Indonesia
kemudian menyerahkan obor dan bendera Sukan Asia kepada China sebagai tuan
rumah edisi ke-19 pada 2022.
Gabenor
Jakarta, Anies Baswedan menyerahkan bendera dan obor tersebut tersebut kepada Datuk Bandar Hangzhou, Xu
Liyi dan Presiden Jawatan Olimpik China, Gou Zhongwen.
Bandaraya
Hangzhou menjadi bandar raya ketiga China menjadi tuan rumah pada 2022 selepas
Bejing pada 1990 dan Guangzhou pada 2010.
Tumpuan
penonton kemudian terarah kepada obor temasya yang dipadamkan selepas
dinyalakan sejak majlis perasmian 18 Ogos lalu.
Lebih
11,000 atlet dan pegawai dari 37 negara mengambil bahagian dalam 40 jenis sukan
pada temasya yang diadakan di Jakarta dan palembang.
Ini
merupakan kali kedua Indonesia menjadi tuan rumah selepas edisi 1962 di
Jakarta.
--
BERNAMA
No comments:
Post a Comment