Sunday, 23 September 2018

Zalina ibarat sirih pulang ke gagang...


Bertugas di Terenganu bukan sahaja memberi peluang kepada Zalina Maizan Ngah meneruskan khidmat untuk Bernama tetapi kesempatan memajukan negeri kelahirannya.
Anak jati kampung tepian pantai di Kemasik itu berkata masih banyak yang beliau ingin lakukan sebagai ketua biro di negeri itu.
“..awalnya saya ditanya sama ada bersedia ke biro..masa tu tak pula diberitahu negeri mana,” kata Zalina.
“Sebagai pekerja, saya setuju sahaja selepas berbincang dengan suami sebab mahu anak-anak keluar dari ‘kota batu’..
“Sebulan sebelum tarikh pertukaran, barulah dimaklumkan bahawa saya akan ke Terengganu..masa itulah saya rasa rezeki datang bergolek,” katanya yang mengetuai biro itu sejak dua tahun lepas.
Selain membuat liputan berita, Zalina telah mengambil inisiatif untuk menjalin hubungan antara Bernama dengan pelbagai pihak seperti kerajaan  negeri dahulu dan sekarang serta organisasi termasuk pasukan keselamatan dan universiti.
Beliau telah merintis jalan untuk mengadakan hubungan antara Bernama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sehingga perbincangan strategik peringkat tertinggi diadakan di Wisma Bernama, Khamis lepas bagi merangka perjanjian persefahaman.
“Banyak yang tersembunyi di Terengganu yang orang tak tahu..bukan setakat keindahan alam tetapi juga nilai juang masyarakat tempatan.
“Pendekatan saya lebih fokus kepada berita ekonomi, nilai moral dan impak kepada masyarakat..Alhamdulillah banyak story kami memenuhi ruang akhbar dan online.
“Apapun dan..walau ke mana, saya tak kan berjaya tanpa team Bernama Terengganu,” katanya.
“..masih ramai yang anggap kita hanya perlu menulis dan cari berita frontpage..dunia hari ini terlalu mencabar untuk fokus kepada satu perkara sahaja,” katanya.
Setelah 17 tahun menjadi wartawan,  Zalina berkata beliau “banyak mempelajari erti sebenar sebagai manusia”.
“Pengalaman 12 tahun menjadi wartawan mahkamah memberi saya peluang dekat dengan orang bermasalah..akhirnya saya buat keputusan ambil anak angkat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat,  sampai sekarang bersama saya.
“Walaupun dah ada tiga anak kandung tapi saya rasa perlu bantu orang lain…anak ini jadi eksperimen jiwa saya,” katanya.
Anak perempuan berusia tiga tahun itu telah dijaga oleh Zalina sejak lahir.
Menurutnya, ‘baby’ ini menjadi pelengkap kepada tiga anak kandungnya, yang sulung lelaki berusia 14 tahun, kedua perempuan,13 tahun dan ketiga, lelaki, 10 tahun.
“Semua nama hampir sama dan saya pastikan anak angkat juga sama,” katanya.

No comments:

Post a Comment