Tuesday, 11 September 2018

Berita di hujung jari…


 Rasa begitu teruja mengetahui mengenai Bernama Mobile Newsroom yang baharu dipertingkatkan keupayaannya untuk menyalurkan berita bagi memenuhi tuntutan pengguna selaras peredaran masa.
Eksekutif Media, Unit Media dan Agensi Berita Asing, Zarif Haizad Azhari berkata Bernama Mobile Newsroom adalah aplikasi telefon pintar yang menjadi platform penyampaian berita Bernama kepada pelanggan.
“Pelanggan boleh mendapatkan berita Bernama secara real-time melalui aplikasi ini di telefon pintar.
“Selain berita Bernama, aplikasi ini turut menyediakan berita Reuters.
“Pelanggan boleh memilih sendiri kategori berita yang dikehendaki,” katanya.
Produk itu belum dilancarkan dan baharu ditunjukkan kepada Jawatankasa Pengurusan Bernama pada mesyuarat bulanan yang lepas.
“Aplikasi ini sudah boleh dimuat turun di Google Playstore dan App Store,” kata Zarif.
Menurutnya, Bernama Newsroom App adalah kesinambungan kepada servis Mobile Newsroom yang sedia ada (terutama menerusi Blackberry).
“Berlainan daripada servis Mobile Newsroom yang menghantar berita Bernama dan Reuters ke emel, aplikasi Bernama Newsroom membolehkan pelanggan melihat terus berita melalui aplikasi telefon pintar,” katanya.
“Golongan sasarnya adalah mereka yang memerlukan berita pantas di hujung jari terutamanya para pembuat undang-undang, ahli-ahli politik, pegawai penguatkuasaan undang-undang, kedutaan asing dan mereka yang memerlukan maklumat terkini dari sumber yang amat diyakini iaitu BERNAMA,” katanya.
“Setakat ini ada lebih kurang 100 pengguna yang telah memuat turun dan mereka dikategorikan sebagai trial users.
Trial users menerima berita harian yang terhad buat masa ini.
“Bila apps dah dilancarkan, baru kita buka langganan (subscription) sebagai premium user dengan bayaran yang akan diumumkan nanti,” kata Zarif.
Katanya, mereka yang melanggan servis sedia ada (Mobile Newsroom service) akan secara automatik dipindahkan ke platform baharu (Bernama Newsroom) selepas dilancarkan.
“Kita harus bergerak seiring dengan peredaran zaman dan arus teknologi.
“Masyarakat sudah kurang minat untuk membelek akhbar, membaca berita melalui emel, mahupun menonton berita di televisyen.
“Bernama Newsroom ini merupakan aplikasi terbaik dalam menyampaikan maklumat terus kepada masyarakat sepanjang masa.
“Ini juga bersesuaian dengan motto Bernama, Get it Right, “ katanya.





No comments:

Post a Comment