Wednesday 6 September 2017

Wisma Kenangan...

Dulu 
sosok tubuhmu tersergam menjulang
warna biru putihmu terserlah dari kejauhan
menjadi mercu tanda pencari arah
yang mamun dalam simpang siur perjalanan 
di kota yang pantas berubah
di sini pernah bermastautin 
Jabatan Penerangan Malaysia
dan agensi antarabangsa
penyebar maklumat dan berita
ke segenap ceruk dan benua
Di gedung media inilah juga
aku mengukir pelbagai kenangan
mencari rezeki melebarkan persahabatan
menambah pengalaman
menimba pengetahuan
menumpang tempat meneruskan kehidupan
Kini
kehadiranmu seakan tercabar
tubuhmu tersorok di celah kemewahan
persekitaranmu sesak dihimpit pembangunan
tiada lagi laman hijau penyejuk mata banjaran bukit sayup berbalam
tempat aku melempar resah menuai ilham
kerana dilindung kediaman harga berjuta
dan pastinya
hiruk-pikuk kehidupan akan datang bertandang di muka pintumu
meragut ketenangan yang bakal menjadi kenanganku
Wisma Bernama
semoga kau terus perkasa mengharungi masa 
wargamu tabah menempuh gelora
bersemangat kental mengharungi perubahan
sambil melestarikan kecemerlangan
yang terpahat di dinding kewujudan

--Shamsudin Puteh

No comments:

Post a Comment