Tarikh 1 Muharram 1439 hari ini mempunyai
erti yang sungguh istimewa bagi saudara Shamsudin Puteh, penyunting di Meja Penyunting Bahasa Malaysia Perkhidmatan Berita Dalam Negeri. Menerusi catatan di Facebook,
beliau menceritakan sebabnya:
“Pada tarikh ini, isteriku mula bercuti
sebelum bersara. Tarikh ini juga adalah ulang tahun pertama aku menerima
menantu dan tanggal untuk mengira detik akan mendapat cucu sehari dua lagi,
Insya Allah.
Tak kurang istimewanya kerana ia juga
adalah tarikh aku mula bercuti sebelum tamat kontrak bertugas dengan BERNAMA
pada 31 Oktober ini. Aku menganggapnya istimewa kerana ia adalah hari aku mula
menikmati kehidupan sebagai pesara sepenuh masa. Walaupun dah bersara daripada
Jabatan Penerangan Malaysia beberapa tahun lepas, tetapi aku belum merasa
kehidupan sebagai pesara seperti rakan-rakan lain kerana terus menyambung tugas
dengan BERNAMA selepas itu. Keseluruhannya, aku bertugas di pertubuhan berita
nasional itu selama 23 tahun, termasuk sebagai petugas sambilan semasa masih
bekerja di Jabatan Penerangan Malaysia, yang tempohnya ialah 33 tahun.
Beberapa orang kawan bertanya apakah
rancangan ku untuk mengisi hari-hari sebagai pesara sepenuh masa nanti. Jawapan
ku ialah paling utama untuk berehat dan meluangkan masa dengan keluarga dan
membereskan dua tiga perkara yang telah dirancang. Selepas itu, barulah aku
fikirkan perkara baru. Kalau dihimpit kebosanan atau bebanan kewangan, aku akan
cuba mencari kerja yang sesuai dengan kudrat dan kebolehan ku sebagai warga
emas. Bekerja di stesen minyak pun boleh juga. Mudah dan dekat dengan rumah.
Apa pun, kita hanya boleh merancang. Allah jugalah penentu segala kesudahan.
Selamat menyambut 1 Muharram 1439 kepada
semua rakan Fb. Semoga kehidupan kita lebih sejahtera pada tahun baru Hijrah
ini."
Beliau turut memaparkan gambar di atas yang dirakam sebelum balik daripada kerja dua malam lepas, hari terakhir beliau bertugas di BERNAMA sebelum berundur untuk merasai kehidupan sebagai pesara sepenuh masa. Gambar itu sungguh istimewa baginya.
No comments:
Post a Comment