Bagi
jurufoto Bernama Ahmad Iskandar Kamaruzaman yang sangat meminati sejarah,
pengalaman berada di 10 Downing Street di London, akan terpahat dalam
ingatannya sebagai kenangan indah.
“Saya
akan ingat saya pernah berada di perkarangan dan dalam 10 Downing Street sebab
di situ pernah menjadi kediaman rasmi Perdana Menteri Great Britain yang sangat
terkenal seperti Winston Churchill dan Iron Lady, Margaret Thatcher,” katanya.
Iskandar,
yang menganggap jurufoto sebagai perakam sejarah, telah ditugaskan untuk
pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri
Britain Theresa May di kediaman dan pejabat rasmi Perdana Menteri itu pada
Khamis lepas.
“Saya
sangat-sangat meminati sejarah dan assignment itu peluang saya untuk melihat
ikonik 10 Downing Street serta tempat-tempat bersejarah lain di sana,” kata
Iskandar yang tidak melepaskan peluang merakam foto peribadi di luar bangunan
itu.
Beliau
yang mengiringi Pengarang Meja Berita Khairdzir Md Yunus untuk tugasan tersebut
berkata beliau terkejut apabila diberitahu supaya bersiap untuk tugasan penting
itu.
“Sangat
singkat waktu tu sebab saya dapat tahu 11 haribulan malam dan esoknya 12
haribulan malam kena fly ke London.
“Nak
uruskan macam-macam hal sebelum ke London dalam waktu singkat memang sangat
mencabar.
“Saya
macam terkejut sebab saya rasa belum sampai kelayakan untuk saya pergi
assignment di tempat macam tu.
“Perasaan
gementar tu sampai terbawa-bawa di depan 10 Downing Street sebab saya risau tak
dapat deliver apa yang KL hendakkan…risau tak sampai S.O.P tugas yang saya
galas.
“Tapi
bila dah selesai semua, saya rasa sangat-sangat lega bila semuanya berjalan
dengan baik walaupun gementar sikit pada mulanya sebab pertama kali sampai 10
Downing Street,” katanya.
Menurutnya,
rasa gementar itu kerana tidak tahu cara kerja media di sana dan kawalan
keselamatannya yang ketat.
“Lagipun
cuma saya seorang je yang dapat masuk…Press lain termasuk jurufoto agensi UK
pun tak boleh masuk.
“Saya
diiringi jurufoto rasmi 10 Downing Street,” katanya.
Telefon
bimbitnya juga tidak dibenarkan dibawa semasa mengambil gambar dalam tempat itu
yang menjadi kediaman pemimpin Britain sejak 300 tahun.
Iskandar,
yang mendapat perhatian ramai di media sosial baru-baru ini apabila aksi
lariannya yang ‘lebih laju’ daripada atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan selepas acara 100 meter lelaki akhir pada
temasya Sukan SEA KL2017 di Stadium Bukit Jalil, juga telah menggunakan
keupayaan lariannya untuk tugasan di London.
Ketika
melakukan tugasan semasa Sukan SEA itu,
Iskandar menyatakan semasa berlari beliau tidak tidak boleh
memikirkan barang jatuh atau sebagainya kerana yang penting ialah tidak boleh
terlepas momen kejayaan tersebut.
“Benda
yang sama juga saya fikir (semasa di London) cuma saya kena fikir saya tak
boleh miss gambar PM dan saya memang kena berlari masa assignment itu.
“Sebabnya
saya perlu ambil gambar di dalam dan di luar, cuma saya yang boleh masuk dan
saya kena berlari ke dalam sebelum PM masuk bilik rasmi PM UK,” kata Iskandar, 31, yang menggalas kamera dan peralatannya
yang berat.
Setelah
berada di luar negara selama enam hari untuk tugasan itu, Iskandar dan
Khairdzir tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kira-kira 3 petang
dua hari lepas.
“Saya
sempat juga pergi Tower Bridge, London Bridge, St Paul Cathedral, Parliament
House, St James Park, Buckingham Palace, Tower of London,” kata Iskandar yang
menyertai Bernama pada umur 24 tahun sebagai pelajar praktikal.
Beliau
kemudian terus menjadi stringer pada tahun berikutnya dan menjadi petugas
Bernama secara rasmi pada tahun 2012.
Sejak
menyertai Bernama, Iskandar telah membuat tugasan di kebanyakan negara ASEAN
kecuali Myanmar dan Brunei serta China, Brazil, Arab Saudi sebelum United
Kingdom.
No comments:
Post a Comment