Friday 1 September 2017

Meniti perjalanan Haji di Tanah Suci...

Daripada Abdul Rahman Ahmad di Makkah

Ketika umat Islam menyambut Aidiladha di kampung halaman, peserta Kembara Inspirasi Haji menyertai lebih dua juta umat Islam untuk melaksanakan rukun haji seperti melontar jamrah,  tawaf, saie hajib serta bertahlul. 
Walaupun dibahagikan kepada dua kumpulan di Tanah Suci Makkah, namun para peserta itu dapat melaksanakan ritual haji dengan baik.
Satu kumpulan yang terdiri daripada pengarah projek kembara Khir Ariffin dan Zikri Fuad Abdul Salam serta Jasmi Jantan dan Zuraini Abdul Malek ditempatkan bersama-sama jemaah dari China. 
Satu lagi kumpulan yang disertai Mohd Izam Maha Nor,  Muhammad Shahuri Zainudfin dan dua petugas media -- Ketua Editor Tugasan Bernama News Channel (BNC) Abdul Rahman Ahmad dan jurukamera BNC Ahmad Shahuri Mat Jaan yang lebih dikenali sebagai 'Awi' ditempatkan dengan jemaah Indonesia. 
Kumpulan Khir melakukan tawaf dan saie serta bertahalul selepas bermalam di Muzdalifah sehingga 2 pagi manakala kumpulan Mohd Izam melontar Jamrah Aqabah dan bertahlul awal selepas bermalam di Muzdalifah dan berhenti sebentar di Mina. 
Kumpulan Khir akan melontar Jamrah Aqabah sebelum tengah malam ini sementara kumpulan Mohd Izam akan melontar Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra menjelang Subuh.
Bagi Khir, beliau bersyukur kerana pengembaraan sejauh 16,000 kilometer adalah satu persiapan diri dari segi mental dan fizikal yang memudahkan para peserta menunaikan ibadah Haji.
"Saya bersyukur sebab dapat menunaikan ibadah haji walaupun kita menghadapi pelbagai rintangan.  Dan lebih bermakna kerana saya dapat melakukannya dengan isteri Ain Suhana Noruzaman", katanya.
Sebelum itu, kedua-dua kumpulan mengutip batu di Muzdalifah dan bermalam di situ sehingga selepas tengah malam tadi.
Sementara itu, wartawan Bernama, Elmi Rizal Elias yang menyertai pasukan media untuk liputan Haji melaporkan bahawa hubungan baik di antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi menyaksikan jumlah jemaah Malaysia pada musim ini meningkat sebanyak 1,100 orang berbanding 30,200 jemaah yang diumumkan sebelum ini.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata daripada laporan yang diterima, sebanyak 31,300 jemaah Malaysia berada di Tanah Suci untuk melaksanakan Rukun Islam Kelima itu.
“Mengikut laporan daripada pengurusan Tabung Haji, setakat hari ini (semalam) jemaah haji Malaysia yang berada di Arafah adalah sebanyak 31,300 orang,” katanya kepada pemberita di Arafah pada Khamis.
Malam tadi, jemaah haji Malaysia bergerak ke Muzdalifah secara berperingkat untuk mabit (bermalam) sebelum terus ke Mina.
Di Mina, jemaah Malaysia akan melontar Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah (1 Sept) sebelum melontar ketiga-tiga jamrah – Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra –  pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment