Saturday 9 September 2017

Kembara Inspirasi Haji sejukkan tekak jemaah dengan aiskrim...

Daripada Abdul Rahman Ahmad di Makkah

Selepas menyumbang nasi goreng dengan ayam goreng kunyit tempoh hari,  peserta Kembara Inspirasi Haji kali ini mengagihkan pula aiskrim kepada orang ramai terutamanya jemaah haji dari pelbagai negara yang masih berada di Tanah Suci.
Aiskrim berperisa mangga, vanila, cokelat dan strawberi diedarkan dalam bekas kecil selepas solat Asar di hadapan hotel penginapan peserta kembara di Jalan Ibrahim Al Khalil di Makkah pada Jumaat.
Menurut Pengarah  Projek Kembara, Khir Ariffin, aiskrim itu hasil sumbangan rakan-rakan Facebook Kembara Inspirasi Haji yang sentiasa dikemas kini aktiviti sepanjang pengembaraan mereka sehingga ke Tanah Suci.
"Saya dapat ilham untuk mengedar aiskrim kepada orang ramai semasa saya dan isteri sedang makan aiskrim. Jadi sayapun muat naik cadangan itu dan rakan Facebook ada yang mahu menyumbang duit untuk tujuan itu. 
“Alhamdulillah kita dapat mengumpul duit sumbangan untuk memberi 550 bekas aiskrim berharga tiga riyal setiap satu. Saya berterima kasih kepada semua yang  menyumbang," katanya.
Selepas pengalaman diserbu ketika mengedarkan nasi goreng baru-baru ini, peserta kembara kami ini membuat perancangan lebih teliti  bagi memastikan edaran aiskrim berjalan lancar.
Kali ini mereka menyediakan penghadang besi untuk mengelak orang ramai daripada menyerbu dan bertegas agar mereka beratur bagi mendapatkan aiskrim manakala yang ingkar tidak akan dilayani walaupun ada yang memberi pelbagai alasan.
Adakala peserta kembara terpaksa bertegas meminta mereka beratur apabila keadaan menjadi tidak terkawal apabila orang ramai cuba memotong barisan
Namun bagi yang tidak berupaya,  berkerusi roda dan pekerja am diberi pengecualian untuk mendapatkan  aiskrim yang dibeli daripada sebuah kedai aiskrim yang terletak kira-kira 600km dari tempat penginapan peserta kembara yang sentiasa sibuk dengan orang ramai yang berulang alik ke Masjidil Haram.
--BERNAMA

No comments:

Post a Comment