Wednesday 27 September 2017

Bernama jayakan Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar

Peranan Bernama mendapat pengiktirafan apabila dilantik menganggotai jawatankuasa media dan publisiti Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar ke-enam yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 13 hingga 15 Oktober ini.
Multaqa berprestij itu anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia.
Seramai 400 tetamu termasuk 100 alim ulama dan cendekiawan dari seluruh dunia yang dipilih oleh al-Azhar al-Sharif dijangka menghadari multaqa itu bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Multaqa itu mula dilaksanakan pada tahun 2006 dan hanya diadakan di Mesir kecuali pada tahun 2008 apabila Malaysia diberi penghormatan menjadi tuan rumah.
“Ini kali kedua multaqa diadakan di luar Mesir dan kedua-duanya di Malaysia,” menurut Jakim.
“Kepakaran Bernama amat diperlukan memandangkan multaqa ini akan dihadiri oleh para wartawan dari dalam dan luar negara,” kata jabatan itu dalam surat jemputan kepada Bernama sebagai anggota jawatankuasa berkenaan.
Ketua Meja Bahasa Arab saudara Muhamad Razee Hasan menghargai pengiktirafan yang diberikan kepada Bernama untuk menjayakan multaqa itu.
“Memandangkan multaqa ini banyak menggunakan bahasa Arab, penglibatan kita amat diperlukan termasuk untuk tujuan terjemahan teks,” kata beliau yang menghadiri mesyuarat jawatankuasa berkenaan minggu lepas.
Menurutnya, ramai wakil media dari negara Islam terutama Mesir dijangka membuat liputan multaqa itu yang bertemakan “Nilai-nilai Hidup Bersama Dalam Islam”.
Al-Azhar al-Sharif merupakan sebuah institusi keagamaan yang terkemuka ditubuhkan lebih 1,500 tahun yang lalu dan konsisten dengan pendekatan Wasatiyyah dalam menjelaskan kesucian dan keaslian agama yang menjadi asas ketemadunan dan kemajuan.
Dalam konteks Malaysia, al-Azhar melalui universitinya telah melahirkan sejumlah besar alumni daripada kalangan anak watan negara ini sejak akhir tahun 1950-an.
Generasi awal lepasan al-Azhar telah memberi sumbangan yang amat signifikan khususnya dalam kemajuan Islam di Malaysia dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, politik dan pengurusan hal ehwal Islam.
Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) telah ditubuhkan pada 1 Mac 2012 dan merupakan satu daripada cawangan Pertubuhan Antarabangsa Alumni al-Azhar Kaherah (WOAG Cairo) yang beribu-pejabat di ibu negara Mesir itu.
Menurut dokumen penerangan mengenai program tersebut, Multaqa itu akan mengenengahkan konsep Wasatiyyah al-Azhar sebagai kunci penyelesaian terhadap isu-isu yang berlaku akibat daripada gejala ekstremisme dan keganasan yang melanda umat manusia masa kini.
Mutakhir ini pemikiran ekstremisme dan amalan keganasan sereingkali cuba untuk dikaitkan dengan agama Islam.
Hakikatnya, penyelewengan terhadap nas-nas dan faham-faham agama memang boleh mewujudkan serta menyuburkan pemikiran ekstremisme dan amalan keganasan tersebut.
Ditambah pula dengan keinginan hawa nafsu yang sering melihat kepada kepentingan-kepentingan peribadi, justeru tidak hairan munculnya individu atau kumpulan yang cenderung  membawa pemikiran ekstremisme dan amalan keganasan.
Maka sewajarnya selaku institusi keagamaan yang terulung di dunia, al-Azhar muncul dengan usaha-usaha ke arah memperkenalkan serta menyuburkan pendekatan Wasatiyyah yang sememangnya merupakan unsur utama dalam tradisi keilmuan di al-Azhar al-Sharif.



No comments:

Post a Comment