Sunday 10 September 2017

Selamat bersara Kak Is...

Setelah berkhidmat hampir 40 tahun dengan Bernama, tentulah banyak kenangan yang tersemat dalam sanubari Puan Ismarani Adnan yang bersara wajib pada 2 Sept lepas.
Mesra dengan panggilan ‘Kak Is’ di kalangan rakan sepejabat, beliau mengakui rasa sedih meninggalkan Bernama disebabkan antara lain “kawan semua baik-baik”.
“Kak Is berkhidmat selama 38 tahun 6 bulan...banyak kenangan semasa berkhidmat dengan Bernama,” kata Kak Is yang bersara sebagai Pembantu Tadbir di Bahagian Sumber Manusia.
Antara kenangan manis termasuklah menerima Anugerah Khas Khidmat Setia semasa Majlis Makan Malam Jubli Emas Bernama di Dewan Perdana Felda di ibu negara pada 22 Mei lepas.
“Kak Is belum lagi merancang nak buat apa, buat masa ni berehat dulu di rumah...gi cuti-cuti Malaysia je,” katanya.
Ibu kepada tiga orang anak itu kini mempunyai masa yang lebih bersama keluarga.
Anak perempuan pertamanya berusia 36 tahun sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak manakala anak perempuan kedua berusia 30 tahun.
Anak bungsunya seorang lelaki berumur 25 tahun yang baharu bekerja.
Ketika dimaklumkan bahawa ada rakan-rakan pejabat yang sedih dan merinduinya kerana tidak dapat berjumpa sebelum beliau bersara, Kak Is berkata: “Mana ada orang rindu Kak Is. Malu pulak kalau ada orang rindu, ingat je kot pada Kak Is.”
“Kak Is pun akan merasai kehilangan kawan-kawan setelah berkhidmat sekian lama.
“Kak Is ingin memohon maaf sekiranya ada salah dan silap,” katanya dan mendoakan agar Bernama terus maju.
“Salam untuk semua,” kata Kak Is.

No comments:

Post a Comment