Setelah mengharungi perjalanan darat
merentasi 10 negara untuk ke Makkah bagi mengerjakan ibadah haji, lapan peserta
Kembara Inspirasi Haji (KIH) selamat tiba di tanah air hari ini.
Mereka nyata tidak dapat menyembunyikan
kegembiraan apabila kelihatan tersenyum lebar ketika melangkah keluar dari
balai ketibaan antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebaik
melihat wajah keluarga masing-masing setelah lebih dua bulan tidak bertemu.
Kumpulan itu yang turut disertai Ketua
Editor Tugasan Bernama News Channel (BNC) Abdul Rahman Ahmad dan jurukamera
Ahmad Shahuri Mat Jaan, tiba pada 1.50 tengah hari melalui pesawat SriLankan
Airlines.
Abdul Rahman yang pernah mengerjakan
ibadah haji pada 2004, berkata beliau berasa bertuah dapat mengikuti KIH kerana
pengalaman kali ini sangat membuka matanya terhadap kebesaran ciptaan Allah
S.W.T.
"Sebelum pergi, saya berasa sedikit
bimbang tetapi saya bersyukur sepanjang perjalanan, walaupun ada cabaran,
tetapi perjalanan kami dipermudahkan dan dapat melaluinya dengan lancar,"
katanya.
Abdul Rahman berkata sebagai wartawan,
perjalanan darat sejauh 14,700km merentasi Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan,
Uzbekistan, Turkmenistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), juga memberi
banyak inspirasi kepadanya untuk menulis antaranya mengenai keindahan kawasan
yang dilalui dan pertemuan dengan penduduk tempatan.
Katanya, terdapat cabaran yang tidak
diduga apabila mereka ditahan selama kira-kira setengah jam di sebuah balai
polis di Xinjiang, China kerana solat di sebuah masjid.
"Di situ hanya dibenarkan solat di
masjid dalam tempoh tertentu selepas masuk waktu solat, tetapi kami lewat tiba
di masjid tersebut. Kami bernasib baik kerana ketua polis di situ beragama
Islam," katanya.
Pengerusi Pertubuhan Kembara Amal (#PeKA)
Khir Ariffin, melahirkan rasa syukur mereka dapat pulang dengan selamat, sambil
menyifatkan ia pengalaman paling berharga yang tidak mungkin dapat dilupakan
oleh semua peserta.
"Walaupun pelbagai cabaran kami
hadapi sepanjang perjalanan, namun kami mendapat kepuasan apabila bertemu dan
beramah mesra dengan orang tempatan di negara-negara yang kami lalui.
Ada antara mereka yang berkata kembara
ini memberi inspirasi kepada mereka sehingga ada yang ingin turut serta jika
kami ingin melakukan kembara lagi," katanya kepada pemberita.
Khir yang juga ketua kembara itu, berkata
#PeKA telah melaksanakan program kembara sambil beramal sejak 2011 dan ini
adalah kali pertama pertubuhan itu menganjurkan kembara ke Makkah.
"Antara aktiviti sepanjang KIH ialah
menyalurkan bantuan makanan kepada pelarian di Bangkok, menziarahi keluarga
nomad di Kyrgyzstan dan mengagihkan makanan kepada jemaah haji di Makkah,"
katanya.
Bagi satu-satunya peserta wanita, Zuraini
Abdul Malek, 36, beliau tidak teragak-agak mengikuti suaminya Jasmi Jantan, 46,
dalam KIH kerana ingin memperoleh pengalaman.
"Perjalanan ini sangat menguji
mental dan fizikal, apatah lagi saya bertanggungjawab memasak untuk anggota
kembara. Bagaimanapun, suami saya banyak membantu," katanya.
Pengembaraan lapan peserta itu akan
disiarkan dalam dokumentari 13 episod yang akan diterbitkan oleh Bernama News
Channel.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment