Berbekal keazaman untuk bekerja
dengan Bernama, Hasnah Jusid membulatkan tekad menaiki kapalterbang dari Sabah semata-mata
bagi menghadiri temuduga sebagai wartawan di Wisma Bernama.
“Ketika itu ada yang beranggapan
pemergian saya ke Kuala Lumpur untuk mengambil ujian dan temuduga adalah sia-sia
dan berisiko kerana kos yang tinggi.
“Tapi kerana memang saya bercita-cita
untuk bekerja di bawah Bernama sejak melanjutkan pelajaran di UMS (Universiti Malaysia
Sabah), saya teruskan hasrat dengan bantuan keluarga dan rakan-rakan yang
memberikan sokongan kewangan…syukur Alhamdulillah pengorbanan saya terbalas,”
katanya yang menyertai Bernama sebagai pemberita kadet pada 3 Mac 2014.
Berasal dari Kampung Sumbilingon, Kota
Marudu, Hasnah menghadiri temuduga itu selang beberapa hari selepas konvokesyen
UMS dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan dan
Penyiaran).
Keinginannya untuk menyertai Bernama
didorong oleh seorang pensyarah UMS Dr Haryati Karim, antara tenaga pengajar
yang paling diminatinya dan merupakan bekas wartawan Bernama.
“Beliau banyak bercerita kisah ketika
menjadi pemberita di Bernama…kisah-kisahnya banyak membangkitkan semangat saya
untuk turut mencapai kejayaan sepertinya,” kata Hasnah yang kini bertugas di Biro
Bernama Kedah sejak dua tahun lepas.
Sebelum melanjutkan pelajaran ke
universiti pun, minat beliau untuk menjadi wartawan telah lahir sejak kecil.
“Sejak saya berumur 6 tahun, ayah saya
seorang yang sangat suka mengikuti perkembangan semasa…setiap hari dia akan
membeli surat khabar tempatan Sabah seperti Daily Express dan New Sabah Times.
“Dia akan meminta saya membacakan setiap
berita yang ada pada akhbar tersebut untuk didengarnya.
“Daripada pembacaan saya, memang saya
melihat kebanyakan berita yang terdapat dalam akhbar-akhbar ini, kita akan
dapat lihat satu kredit pada penghujung beritanya iaitu Bernama..
“Semakin umur meningkat, saya mula faham peranan
Bernama dan itulah sebabnya saya memasang cita-cita untuk menyertai Bernama,”
kata Hasnah, 27.
Kini setelah menyertai Bernama, Hasnah
dapat merasai keseronokannya menjadi
wartawan Bernama.
“Apa yang paling seronok kerja dengan Bernama
sebab ia agensi berita yang disegani dan menjadi sumber rujukan kepada
organisasi media lain…ditambah dengan bos-bos yang supportive.
“Kalau pergi mana-manapun Bernama memang
dikenali sebagai agensi berita utama untuk mendapatkan berita cepat, pantas dan
sahih.
“Pada tahun pertama saya di Bernama iaitu
ketika menjadi pemberita kadet.. saya pernah meminta pakcik teksi untuk hantar
ke bangunan Wisma Bernama disebabkan waktu itu saya tak mempunyai kereta lagi.
“Setelah sampai di hadapan pintu utama bangunan
Bernama, pakcik itu bertanya saya adakah saya bekerja di situ…saya kata ya..
“Jawapan pakcik itu saya masih ingat sampai
sekarang, dia kata: "Kamu beruntung kerja dengan Bernama sebab Bernama
ni sudah lama wujud dan memang dikenali sejak dulu lagi,” katanya.
Hasnah, yang telah menunjukkan komitmen tinggi terhadap kerja, baru-baru ini menerima ‘insentif petugas cemerlang Biro Kedah’ yang diperkenalkan oleh Ketua Biro Zabidi Ishar sebagai dorongan kepada para petugas biro tersebut.
Hasnah, yang telah menunjukkan komitmen tinggi terhadap kerja, baru-baru ini menerima ‘insentif petugas cemerlang Biro Kedah’ yang diperkenalkan oleh Ketua Biro Zabidi Ishar sebagai dorongan kepada para petugas biro tersebut.
Sebagai anak Sabah, Hasnah telah lama dapat
melihat peranan penting Bernama dalam menggalakkan integrasi nasional.
“Local newspapers di Sabah memang cukup
banyak menggunakan berita-berita Bernama...local newspapers ini pengaruhnya agak
kuat di kalangan rakyat Sabah
terutamanya yang tinggal di pedalaman.
“Rakyat Sabah yang terdiri daripada lebih
36 suku kaum memang cukup terkenal sebagai salah satu contoh terbaik perpaduan
kaum dan semangat 1Malaysia di negara ini.
“Ditambah pula dengan berita Bernama yang
cukup banyak dipakai oleh akhbar-akhbar tempatan Sabah, tidak hanya berita
berkaitan Sabah malah juga berita-berita yang berlaku di Semenanjung sekali gus
dapat pupuk semangat kenegaraan.
“Rakyat di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak
merasa lebih dekat dengan rakyat Semenanjung walaupun dipisahkan Laut China Selatan.
“Sama juga rakyat Semenanjung pun boleh
tahu perkembangan yang berlaku di Sabah dan Sarawak dengan adanya biro Bernama di
negeri-negeri itu.
“Tanpa Bernama mana mungkin rakyat di Sabah dan Sarawak tahu segala intipati
maklumat, kejayaan pembangunan, amanat PM dan lain-lain lagi yang berlaku di Semenanjung,”
kata anak kelapan daripada 12 adik beradik itu.
No comments:
Post a Comment