Saturday 16 September 2017

Mesej WhatsApp petanda tragedi...

Wartawan Marfika Adnan sedang bersiap untuk ke pejabat apabila dihubungi seorang kenalan  mengenai kebakaran di sebuah pusat tahfiz tidak jauh dari rumahnya.
Ketika itu hampir 8.10 pagi dan beliau terus menghantar mesej berikut kepada WhatsApp kumpulan: Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, ibu negara terbakar awal pagi tadi, ramai dikhuatiri maut.
Sejurus kemudian, Marfika terus menuju ke pusat tahfiz itu yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.
“Waktu saya sampai, orang awam dah ramai kat lokasi kejadian…saya dapatkan maklumat daripada pihak bomba dan buat panggilan kepada bos yang bertugas pagi tu,” katanya.
Setelah mendapat maklumat berkenaan, Penolong Pengarang Muna Khalid yang baharu memulakan tugas pagi itu menghantar flash “Lebih 20 pelajar maut dalam kebakaran pusat tahfiz di KL awal pagi ini – Bomba” pada pukul 8.42 pagi.
Bermulalah hari yang mencabar bagi Muna sebagai editor tugasan.
Malahan sebelum itu lagi apabila mendapat WhatsApp awal Marfika, beliau telah menghubungi wartawan jenayah supaya ‘check’ maklumat itu.
“Bila dah confirm lebih 20 meninggal, saya hantar flash,” kata Muna.
“Saya hantar reporters ke lokasi kejadian dan HKL (Hospital Kuala Lumpur), drop assigments yang tak penting,  recall reporters yang off,” katanya.
Seramai 21 pelajar dan dua guru yang merupakan warden pusat tahfiz itu terkorban dalam kebakaran pada pukul 5.15 pagi dua hari lepas.
Muna berkata perasaannya ‘bercampur baur’ apabila semakin banyak maklumat serta berita diterima dan disiarkan mengenai tragedi itu.
“Beremosi lah... sedih bila tengok video dan gambar mangsa…Pada masa yang sama, ada tugas yang perlu dibereskan.
Dalam pada itu, perasaannya berdebar-debar mengendalikan tanggungjawab sebagai editor tugasan untuk hari itu.
“Boleh tak saya lakukan tugas ni dengan baik... takut ada yang miss,” katanya yang menganggap peristiwa itu sebagai antara cabaran besar yang pernah dihadapinya.  
“Ya...pengalaman yang tak ternilai bagi seorang wartawan....peristiwa paling menyedihkan bagi saya sejak join Bernama selama 17 tahun
“Saya dapat ikuti daripada pagi kejadian sampai selesai pengebumian semalam,” katanya.
Muna berkata liputan peristiwa itu memberikan iktibar bahawa “planning (perancangan) dan teamwork (semangat berpasukan) amat penting”.
“....kalau kita gagal buat planning, semua akan jadi kucar kacir.
“Semalam kami wujudkan whatsapp grup khas untuk liputan kebakaran untuk memudahkan komunikasi.
“Semua maklumat gambar, video masuk situ..ada writer di pejabat bantu ambil story yang reporters hantar… writer tu juga bantu buat story daripada maklumat dalam whatsapp tu.
“Apapun saya gembira dengan semangat reporters yang kerja penuh dedikasi.,” kata Muna.
Bagi Marfika, yang sebelum ini bekerja sebagai editor dan penulis buku kanak-kanak di sebuah syarikat penerbitan, peristiwa itu turut meninggalkan kesan mendalam.
“Sedih sebab saya selalu jumpa dengan budak-budak tu dan ustaz mereka…saya selalu makan di kedai makan pusat tahfiz tu,” kata Marfika, 26, yang menyertai Bernama pada Februari tahun lepas.
Selain mendapatkan maklumat daripada saksi di lokasi kejadian, Marfika juga merakamkan foto dan visual yang diguna oleh Bernama Offbeat.
Tragedi itu turut dilaporkan Bernama Radio serta Bernama News Channel.
Ia itu turut mendapat perhatian media antarabangsa seperti Al Jazeera, Cable News Network (CNN), British Broadcasting Corporation (BBC), Hindustan Times dan Deccan Herald (India) serta The Telegraph yang memetik laporan agensi berita Agence France-Presse (AFP) dan Reuters.
The deadliest fire in decades in Malaysia’ kata portal Al Jazeera manakala CNN melaporkan kejadian itu dengan tajuk ‘21 children, 2 adults killed in fire at Malaysian school’ dan BBC menggunakan tajuk ‘Kuala Lumpur school fire kills students and teachers’.
The Jakarta Post dan Jakarta Globe (Indonesia) serta Channel News Asia (Singapura) turut melaporkan berita tersebut.
Australian Broadcasting Corporation (ABC) pula melaporkan insiden itu dengan tajuk berita ‘Kuala Lumpur school fire kills at least 23, mostly students, officials say’.

No comments:

Post a Comment