Friday 8 September 2017

Meraikan Zainal dan Norhalim...

Rakan-rakan di Unit Kenderaan Bernama meraikan Encik Zainal Nordin yang genap 57 tahun hari ini.
Mereka turut mengambil kesempatan untuk meraikan Penyelia Unit Kenderaan Encik Norhalim Mohd Ali yang menyambut hari lahir ke-46 pada 1 September lepas.
Satu video yang dimuatnaik ke WhatsApp kumpulan menunjukkan mereka memotong kek sambil rakan-rakan menyanyikan lagu ‘Happy Birthday’ dan ‘’Allah Selamatkan Kamu’ pada majlis yang diadakan di unit tersebut.
Menu istimewa nasi lemak dengan pelbagai lauk pauk dihidangkan.
Zainal, yang telah berkhidmat dengan Bernama selama 32 tahun,  berterima kasih kepada rakan-rakan yang mengadakan majlis itu.
Hubungan erat antara mereka yang bagaikan keluarga menjadi antara faktor bagi beliau seronok berkhidmat di Bernama, kata bapa kepada enam orang anak itu.
“Kalau tanya saya, elok ada anak ramai…rezeki akan ada,” katanya yang menyertai Bernama ketika agensi berita ini baharu sahaja berpindah ke Wisma Bernama dari Bangunan MCOBA.  
Bagi Norhalim, beliau berdoa agar beliau dan keluarga sentiasa diberkati dan dirahmati olehNya dalam apa jua hal.
“Tak lama lagi nak 5 series dah saya... heheheh,” kata bapa kepada empat orang itu termasuk sepasang lelaki kembar berusia 19 tahun.
Anak lelaki sulungnya berusia 22 tahun manakala anak perempuan bungsu berumur 7 tahun.
“Dalam famili saya dan wife memang banyak kembar…abang ipar saya anak dia kembar 3 perempuan dah berumur 15 tahun, anak saudara belah saya pun ada dua pasang kembar, cucu saudara belah saya pun ada sepasang kembar...,” kata Norhalim yang menyertai Bernama dua tahun lepas setelah bersara dari tentera.
“Tahun depan inshaAllah dapat menantu lah saya,” katanya mengenai rancangan anak lelaki sulungnya mendirikan rumahtangga.

No comments:

Post a Comment