Friday 29 September 2017

Persatuan alumni berhasrat kerjasama dengan Bernama...

Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar UiTM (PIMPIN) berhasrat menjalin kerjasama strategik dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dari segi perkongsian idea dan pandangan berkaitan kepimpinan, kerjaya dan keusahawanan.
Pengerusinya Saiful Azhar Shaharun berkata kepakaran ikon-ikon pemimpin yang telah berjaya dalam pelbagai bidang masing-masing boleh membantu petugas Bernama meningkatkan kemahiran komunikasi.
“Misalnya, alumni dalam jurusan komunikasi boleh menyumbangkan tenaga mereka dengan memberi khidmat nasihat serta bimbingan dalam membantu petugas Bernama meningkatkan kemahiran komunikasi masing-masing semasa bekerja di lapangan," katanya kepada Bernama selepas mengadakan kunjungan ke Wisma Bernama hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain dan Pengarang Meja Berita Antarabangsa Ahmad Fuad Yahya.
Saiful Azhar berkata Bernama yang sentiasa menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat serta menjadi rujukan media lain merupakan platform terbaik bagi memperkenalkan alumninya yang telah berjaya dalam pelbagai bidang masing-masing agar dapat dijadikan sumber inspirasi kepada golongan muda terutamanya.
PIMPIN merupakan persatuan alumni UiTM yang ditubuhkan sejak 2001 dan sehingga kini telah mempunyai seramai 3,200  anggota yang telah menjawat pelbagai jawatan sama ada dalam sektor kerajaan, swasta mahupun persendirian.
PIMPIN juga giat menjalankan pelbagai aktiviti dengan komuniti bagi melahirkan masyarakat yang kreatif dan berinovasi di peringkat global serta melahirkan pekerja yang cemerlang dalam bidang masing-masing.
-- BERNAMA  

No comments:

Post a Comment